Elak buat haji ikut tafsiran sendiri

Elak buat haji ikut tafsiran sendiri

haji
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Jemaah Malaysia diingatkan agar memanfaatkan baki tiga hari lagi sebelum hari Wukuf di Arafah sebagai peluang untuk mengulang kaji ilmu serta tuntutan berkaitan ibadah haji.

Menurut Ketua Pakar Rujuk Ibadah Haji merangkap Timbalan Mufti Perlis, Tajul Urus Abdul Halim, perkara tersebut penting agar ibadah haji yang dilaksanakan benar-benar sah, sempurna dan diterima Allah.

Jelas beliau, para jemaah perlu memanfaatkan waktu-waktu terakhir sebelum Wukuf untuk membuat semakan semula catatan, nota dan rujukan yang dibekalkan Tabung Haji (TH) sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ulangkaji segala ilmu yang dipelajari sebelum ini agar setiap amalan selari dengan ajaran Nabi Muhammad SAW.

“Baginda bersabda: Ambillah kamu daripada aku ini tentang ibadah haji. Maka, ibadah haji tidak boleh dilakukan mengikut rasa atau tafsiran sendiri, sebaliknya mestilah berpandukan sunah Rasulullah SAW sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Umat Islam di tanah suci bakal menyambut hari Wukuf pada 5 Jun atau Khamis ini bersamaan 9 Zulhijjah 1446H, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Jumaat.

Kata Tajul Urus, antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh para jemaah sebelum Masyair atau kemuncak haji ini adalah berkaitan kesihatan diri.

“Beri tumpuan penuh terhadap penjagaan kesihatan dan elak melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan ketahanan fizikal temasuk pergerakan agresif atau menunaikan umrah sunat yang terlalu kerap sehingga menjejaskan kesihatan menjelang kemuncak ibadah haji.

“Jemaah juga disaran melakukan persiapan teliti dari aspek keperluan peribadi dan logistik termasuk menyusun ubat-ubatan, ihram serta kelengkapan asas harian bagi memudahkan pergerakan dari Arafah ke Muzdalifah, Mina dan seterusnya ke Jamrah,” katanya.

Beliau turut meminta jemaah haji menanamkan keikhlasan yang tulus semata-mata kerana Allah Taala.

“Kita lihat jemaah telah mengorbankan harta, masa dan tenaga demi menyahut seruan haji, namun jika ia dilakukan tanpa keikhlasan dan hanya bertujuan meraih gelaran haji, maka itu satu kerugian besar buat dirinya,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini