Isteri curang, suami beri peluang kedua

Isteri curang, suami beri peluang kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap ujian rumah tangga bukan bertujuan untuk memusnahkan, tetapi kadang kala untuk menyedarkan.

Misalnya, ujian kecurangan boleh menjadi titik permulaan daripada hubungan yang goyah kepada rumah tangga lebih kukuh, jika kedua-duanya sanggup bermaafan dan berubah.

Minggu ini, saya kongsikan kisah rumah tangga yang berjaya diselamatkan selepas suami memilih untuk memaafkan walaupun isteri pernah curang.

Kisah Azman dan Nurul (bukan nama sebenar) dikongsikan sendiri oleh tuan badan dalam pertemuan bersama saya baru-baru ini.

Menurut Azman, tujuan berkongsi kisah silam bukan untuk membuka aib sendiri, tetapi memberi pengajaran kepada suami isteri di luar sana.

“Tiada manusia sempurna. Apabila berlaku khilaf, penting untuk muhasabah diri,” ujar Azman sambil menggenggam erat tangan Nurul.

Nurul yang lebih banyak berdiam sepanjang pertemuan itu mengakui dia benar-benar menyesal atas perbuatan silamnya.

“ Saya tahu saya salah. Tetapi saya juga manusia lemah dan lalai,” ujarnya perlahan.

Memulakan perbualan, kata Nurul, dia curang bukan sebab suami tidak cukup baik tetapi dia gagal melawan godaan dan lupa rumah tangga itu sebuah amanah.

Nurul berkata, dia sangat bersyukur kerana suami sanggup memaafkan dan kini berasa lebih bahagia.

Berkongsi cerita, kata Azman dia berkahwin dengan Nurul atas dasar cinta.

Awal perkahwinan rumah tangga mereka bahagia dan nampak sempurna di mata orang lain.

Sejak berkahwin, Nurul tinggalkan kerjaya demi menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Sebagai seorang ketua keluarga, saya fikir menjadi tanggungjawab mencari rezeki untuk isteri dan anak-anak. Manakala, isteri perlu duduk di rumah dan menguruskan rumah tangga,” ujarnya.

Enam bulan selepas berkahwin, Azman dinaikkan pangkat.

Sejak itu, kehidupan mereka berubah. Azman mula fokus kepada kerjaya sehingga Nurul berasa diabaikan.

“Ya, saya sering pulang lewat, tidak banyak berbual dan sering keletihan setiap kali pulang ke rumah,” tambah Azman.

Tanpa disedari, kesibukan itu membuatkan isterinya berasa kesunyian dan rasa dipinggirkan.

Lebih-lebih lagi mereka tidak dikurniakan cahaya mata sepanjang tempoh hampir setahun usia perkahwinan.

“Saya berasa diri tidak dihargai dan menganggap saya hanya seorang isteri yang menguruskan rumah tangga semata-mata.

“Bila hati kosong, macam-macam muncul dalam fikiran,” celah Nurul.

Sehinggalah pada suatu hari, Nurul meminta izin suami untuk bekerja semula.

Nurul bersyukur kerana tanpa banyak soal, suami membenarkan dia bekerja semula.

Dia bekerja sebagai seorang kerani akaun di sebuah firma guaman.

Setelah dua bulan bekerja di tempat baharu, rutinnya tetap sama.

Datang awal, selesaikan tugasan dan pulang.

Sehinggalah pada suatu hari , seorang pekerja baharu melaporkan diri.

Namanya Sham (bukan nama sebenar). Lelaki muda berusia awal 25 tahun, baru sahaja menamatkan pengajian di salah sebuah universiti tempatan.

Orangnya tinggi lampai dan berkulit hitam manis.

Hari demi hari mereka bekerjasama. Tanpa sedar, dia mula rapat dengan Sham.

Sham sangat pandai mengambil hati, rajin bertanya khabar, malah dia tahu bila perlu memuji dan memberi nasihat.

Lelaki itu sentiasa ada di saat-saat dia mengalami tekanan di tempat kerja.

Akui Nurul, dia mula berasa selesa.

Sham yang muda lima tahun daripada Nurul kelihatan lebih tenang dan matang.

Bermula daripada kawan biasa, lama-kelamaan hubungan mereka lebih bersifat peribadi dan serius.

Hati Nurul yang kosong mula terisi.

Bermula episod berkongsi cerita kerja, dan keluar makan tengah hari berdua.

Kemudian mula mengatur janji keluar selepas waktu pejabat dan akhirnya, sempadan yang halal menjadi haram.

“Saya benar-benar berasa dihargai. Perasaan yang tidak pernah saya rasa di rumah.

“Entah mengapa semakin hari ada perasaan lain muncul . Hati saya tidak keruan sekiranya tidak dapat bertemu seharian dengannya,” imbas Nurul.

Menurut Nurul, sepanjang tempoh itu tidak pernah ada perasaan bersalah terhadap suami.

Sehinggalah pada suatu hari suami mengesan kecurangannya.

Saat itu, dunia Nurul terasa hampir kiamat.

Ketika itu, dia bergelut dengan perasaan takut dan rasa bersalah.

Manakala di pihak Azman, perasaannya bercampur baur, marah, kecewa dan sayang.

Sepanjang tempoh bersendirian, masing-masing mula untuk muhasabah diri.

Kata Azman, dia juga bukan suami sempurna.

“Isteri saya memang salah kerana curang, tetapi saya juga ada silapnya,” akui Azman.

Setelah beberapa minggu menyendiri dan mendapatkan nasihat daripada keluarga, mereka duduk berbincang dari hati ke hati dan berjanji untuk sama-sama memperbaiki diri.

“Saya bersyukur kerana suami memaafkan saya dan memberi peluang kedua. Kami sama-sama cuba menyelamatkan rumah tangga kerana perasaan sayang masih ada,”katanya.

Menurut Nurul, bukan mudah untuk membuang semua hubungan silam dan membina kepercayaan yang telah musnah.

Perjalanan untuk pulih sangat-sangat sukar.

Penuh air mata, perbincangan yang sukar dan doa yang tidak putus.

“Alhamdulilah, hari demi hari kepercayaan mula tumbuh kembali,” ujarnya.

Tambah Nurul, curang bukan kerana pasangan tidak baik, tetapi kerana rasa syukur tidak pernah ada dalam diri.

Menurut Nurul, selepas kejadian itu, mereka lebih kerap meluangkan masa bersama.

Kini, selepas dua tahun melalui fasa pemulihan, Nurul dan suami masih bersama. Mereka kini lebih menghargai antara satu sama lain.

Menurut Azman, hubungan mereka ketika ini lebih bermakna selepas isteri disahkan hamil tiga bulan.

“Kami tidak mengganggap apa yang berlaku sebagai musibah, tetapi ujian untuk menjadi matang dan lebih banyak bersyukur,” ujar Azman.

Kisah Azman yang memaafkan Nurul bukan tanda dirinya lemah, tetapi dia lebih melihat nilai lebih besar iaitu menyelamatkan keluarga dan memberi peluang kedua.

Dalam Islam, suami dan isteri ibarat pakaian untuk saling menutupi dan melengkapi kekurangan masing-masing.

Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka (para isteri) adalah pakaian bagi kalian (para suami), dan kalian adalah pakaian bagi mereka..)” Al-Baqarah: 187).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×