KECENDERUNGAN masyarakat Cina menubuhkan pelbagai jenis persatuan bukanlah perkara baharu atau kebetulan. Amalan ini berakar sejak zaman Dinasti Ming dan Qing di China, di mana kerajaan pusat terlalu jauh untuk menangani urusan harian rakyat di perkampungan dan pekan.
Justeru, masyarakat Cina mengamalkan sistem kendiri melalui persatuan klan (zongzu), dewan perniagaan (hang) dan jawatankuasa kuil berteraskan nilai konfusianisme seperti hormat kepada orang tua, struktur sosial yang tersusun serta kesejahteraan kolektif.
Apabila gelombang penghijrahan berlaku pada abad ke-19 dan 20 ke Asia Tenggara dan Amerika Syarikat (AS), sistem ini turut dibawa bersama. Di perantauan yang asing dan tiada perlindungan politik, mereka menubuhkan persatuan wilayah (huiguan), komuniti (gongsi), kuil dan sekolah. Persatuan ini berfungsi sebagai pelindung, pusat kebajikan, penjaga warisan budaya serta medium pendidikan.
Di Malaysia, kita dapat melihat peranan signifikan persatuan Cina seperti Persatuan Hokkien, Kantonis, Hakka dan sebagainya. Badan seperti Dong Zong dan Jiao Zong pula menjadi benteng mempertahan pendidikan Cina. Malah, pengaruh politik dan ekonomi masyarakat Cina turut berpaksikan kekuatan persatuan-persatuan ini.
Apabila muncul isu berkaitan kepentingan pendidikan atau ekonomi, pelbagai persatuan Cina mampu bersatu suara walaupun berbeza dari segi dialek, asal-usul wilayah atau sejarah permusuhan lampau.
Hakikatnya, sejarah politik Malaysia juga membuktikan betapa persatuan-persatuan ini memainkan peranan dalam menentukan arah sokongan politik masyarakat Cina.
Dari MCA pada era awal kemerdekaan, ke dominasi Parti Gerakan di Pulau Pinang sekitar 1960-an dan 70-an, hinggalah kepada sokongan meluas terhadap DAP sejak 2008. Ini semua menunjukkan bentuk kekuatan politik hasil perpaduan komuniti melalui struktur persatuan yang kukuh.
Malangnya, banyak persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dibayangi kepentingan politik.
Persatuan berasaskan agama, budaya dan bahasa wujud, namun bergerak sendiri-sendiri tanpa agenda bangsa yang menyatukan.
Sejarah membuktikan orang Melayu pernah bangkit secara bersatu ketika menentang Malayan Union sehingga tertubuhnya UMNO. Pada waktu itu, ancaman kehilangan kuasa politik menyedarkan bangsa Melayu untuk bergabung. Persoalannya kini, adakah kita perlu menunggu ancaman yang sama sebelum sedar dan bersatu?
Setiap pertubuhan sememangnya berhak membawa agenda sendiri. Namun apabila melibatkan isu hak kedudukan istimewa Orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kuasa politik bangsa Melayu, semua perbezaan harus diketepikan. Orang Melayu mesti bersatu dengan satu suara yang tegas dan kolektif.
Sudah tiba masanya kita mencontohi kejayaan mereka. Tidak salah mengambil teladan. Ini kerana mereka berjaya dengan pendekatan yang terbukti berkesan sejak ratusan tahun. Sejarah telah membuktikan. Maka, yang baik kita contohi.-UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM
Ahli Majlis Proklamasi Orang Melayu









