IBADAH korban adalah antara ibadah yang paling istimewa dalam Islam kerana melambangkan kepatuhan, ketundukan dan pengorbanan seseorang hamba kepada Allah SWT.
Setiap kali menjelang Aidiladha, umat Islam berpeluang merebut ganjaran besar melalui penyembelihan haiwan korban yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT.
Pensyariatan ibadah korban boleh dilihat melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat karena Tuhanmu, dan berkorbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membencimu dialah yang terputus.” (Surah al-Kauthar: 1-3)
Selain itu, firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan telah Kami jadikan untuk kamu unta-unta itu sebagai syiar Allah. Kamu banyak memperoleh kebaikan dari padanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya.” (Surah Al-Hajj: 36)
Hukum ibadah korban adalah sunat muakkad (amalan yang sangat dituntut untuk dilaksanakan) dan mempunyai keutamaan yang sangat besar.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada suatu amalan pun yang dilakukan oleh manusia pada hari raya korban yang lebih dicintai Allah SWT dari menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu kelak pada hari kiamat akan datang beserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kalian semua dengan (pahala) korban itu”. (Riwayat Tirmizi)
Islam menggariskan beberapa panduan penting yang tidak hanya berkisar kepada hukum dan syarat, tetapi juga menjangkau aspek kualiti dan pemilihan haiwan korban dalam melaksanakan ibadah ini.
Pertama, memilih haiwan yang terbaik, sihat dan sempurna fizikalnya. Pemilihan ini bukanlah semata-mata demi nilai pasaran, tetapi sebagai satu manifestasi dalam membesarkan syiar Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka sesungguhnya perbuatan itu adalah satu kesan daripada sifat taqwa hati orang-orang mukmin.” (Surah al-Hajj: 32)
Ayat tersebut menggambarkan betapa penghormatan terhadap ibadah seperti korban adalah cerminan kepada ketakwaan yang bertapak dalam hati. Justeru, memilih haiwan yang terbaik adalah sebahagian daripada penghormatan terhadap syariat Allah SWT.
Kedua, larangan mengorbankan haiwan yang cacat jelas dan ketara. Islam sangat menitikberatkan dan menekankan aspek kesempurnaan dalam pelaksanaan ibadah korban.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Empat perkara yang tidak boleh ada pada haiwan korban: iaitu haiwan yang buta matanya, yang ketara sakitnya, yang ketara tempang kakinya, dan yang terlalu kurus sehingga tidak ada sum-sum pada tulangnya.” (Riwayat Abu Daud, no.2802)
Hadis tersebut menjadi asas kepada kesepakatan fuqaha bahawa haiwan yang hendak dijadikan korban mestilah bebas daripada sebarang kecacatan yang jelas dan ketara, terutama yang boleh menjejaskan jumlah daging atau nilai korban itu sendiri.
Imam al-Nawawi, dalam karyanya Minhaj al-Thalibin wa Umdah al-Muftin fi al-Fiqh, menyatakan antara kecacatan yang menyebabkan haiwan tidak sah untuk dikorbankan adalah kecacatan jelas kelihatan dan mengurangkan dagingnya.
JANGAN PANDANG RINGAN KECACATAN HAIWAN
Berdasarkan parameter tersebut, Imam al-Nawawi menyenaraikan beberapa contoh kecacatan yang menghalang sahnya ibadah korban :
• Haiwan yang terlalu kurus dan tidak berisi.
• Haiwan yang gila sehingga tidak mampu makan atau meragut rumput.
• Haiwan yang terputus sebahagian telinga kerana kecacatan tersebut akan menyebabkan kekurangan daging yang boleh dimakan.
• Haiwan yang mengalami tempang ketara, buta, sakit teruk atau berkudis.
Namun begitu, jika kecacatan yang ada itu tidak ketara dan tidak menjejaskan daging haiwan tersebut seperti tiada tanduk, telinga koyak sedikit atau kecacatan kecil lain, maka tidak menghalang haiwan itu daripada dikorbankan.
Ini menunjukkan keanjalan syariat dalam memberi ruang kepada umat Islam melaksanakan ibadah dengan kemampuan yang ada, tanpa mengabaikan prinsip utama iaitu memuliakan syiar Allah.
Demikianlah, ibadah korban adalah lebih daripada sekadar penyembelihan haiwan. Bahkan merupakan simbol kepada ketundukan total seorang hamba kepada perintah Allah SWT, sebagaimana ketaatan Nabi Ibrahim AS dan anaknya Ismail AS.
Oleh itu, kesempurnaan dalam pelaksanaan ibadah korban, termasuklah dalam kualiti pemilihan haiwan, adalah keutamaan yang wajar diambil berat.
Berusahalah memperhalusi pelaksanaan ibadah korban dengan sebaiknya dan memahaminya bukan sekadar sebagai upacara tetapi sebagai pengabdian yang sarat dengan nilai takwa, keikhlasan dan pengorbanan.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Azri Bhari ialah Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk).










