PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mengejutkan pasangan pecah ganding China, Feng Yan Zhe-Wei Ya Xin 21-11, 21-19 di pusingan kedua Terbuka Singapura, semalam.
Yan Zhe adalah gandingan No.1 dunia bersama Huang Dong Ping manakala Wei Ya Xin merupakan rakan sepasukan kepada Jiang Zhen Bang, beregu No.2 dunia sekali gus menjadikan pasangan itu antara yang paling berprofil tinggi dalam kejohanan ini walaupun baharu digandingkan.
Soon Huat berkata, dia bersama Shevon mengambil perkara itu sebagai kelebihan dalam gelenggang biarpun berdepan sedikit salah faham antara pasangan suami isteri itu ketika perlawanan semalam.
“Mungkin dari segi keserasian mereka belum cukup (hebat) sebab baharu digandingkan. Jadi kami ambil peluang itu sebagai kelebihan kami.
“Secara taktikal kami main lebih menyerang dan dari segi mental pula kami bersedia untuk mengharungi keadaan sukar di gelanggang,” kata Soon Huat.
Kemenangan itu menghadiahkan tempat ke suku akhir dan akan menentang juara Terbuka Malaysia 2025 dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, hari ini.
Dalam pada itu, beregu wanita No. 1 negara Pearly Tan-M. Thinaah turut meluaskan kemaraan ke suku akhir selepas menumpaskan pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto 25-23, 21-18, semalam.
Kemenangan itu turut melebarkan rekod pertemuan mereka kepada 3-1 dalam empat pertemuan mereka sebelum ini.
Pasangan No. 4 dunia seterusnya akan bertemu gandingan utama India, J. Treesa-G.G Pullela atau beregu China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian untuk perebutan separuh akhir hari ini. – UTUSAN










