JAINJ tahan penceramah beri kuliah agama tanpa tauliah

JAINJ tahan penceramah beri kuliah agama tanpa tauliah

JAINJ menahan seorang penceramah kerana memberikan kuliah agama tanpa tauliah di sebuah kediaman di Pasir Gudang, Johor Bahru, kelmarin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan seorang penceramah yang dipercayai menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah di sebuah rumah di Pasir Gudang, dekat sini kelmarin.

Pengarahnya, Nasri Md. Ali berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan Bahagian Penguatkuasaan JAINJ dengan bantuan Ibu pejabat Polis Daerah Seri Alam pada pukul 8.30 malam.

Menurutnya, tindakan itu diambil di bawah Seksyen 11, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997, iaitu mengajar agama tanpa tauliah.

“Berdasarkan rekod kami, individu sama pernah ditahan pada 2016 atas kesalahan sama. Pada tahun 2020, ada serbuan dibuat namun dia berjaya melepaskan diri. Ini me­rupakan kali ketiga tindakan diambil terhadapnya kerana tiada tauliah,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, pendakwah selebriti, Ustaz Abdullah Khairi berkongsi satu rakaman video berdurasi dua minit 57 saat memaparkan penahanan seorang penceramah tempatan di Pasir Gudang di sini.

Nasri berkata, tindakan individu tersebut memberi ceramah agama tanpa tauliah telah dibawa dalam mesyuarat pihaknya sebelum keputusan dibuat agar JAINJ mengambil tindakan.

“Penceramah ini dipercayai memberi ceramah dengan jemaah selain disiarkan secara live dalam media sosial. Kediaman itu milik individu lain yang turut dijadikan tempat ceramah setiap hari selepas solat Subuh dan Maghrib.

“Kami tidak halang orang beri ceramah, tetapi mestilah dapatkan tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ). Tindakan ini sama sahaja seperti negeri lain yang mewajibkan penganjur atau pendakwah mendapatkan kebenaran terlebih dahulu,” jelasnya.

Menurut Nasri, ketika penahanan dibuat, beberapa individu di kediaman itu sedang mendengar ceramah, selain menerusi siaran langsung dalam Facebook dan YouTube.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×