Sekeluarga hidup daif, minum air paya

Sekeluarga hidup daif, minum air paya

MAZILAH Mansor ketika ditemui di pondok serba daif yang menjadi tempat tinggalnya sekeluarga di Kampung Paya Besar, Hulu Terengganu. – UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Lapan sekeluarga di Kampung Paya Besar, di sini menjalani kehidupan penuh kedaifan di sebuah pondok berdindingkan kepingan atap malah hanya bergantung kepada air paya sebagai sumber air, sejak awal tahun ini.

Mazilah Mansor, 47, berkata, dia tiada pilihan melainkan tinggal di situ kerana tidak mampu menyewa tempat tinggal sementara menunggu rumahnya yang empat tahun terbengkalai siap dibina.

Katanya yang bekerja sebagai tukang cuci masjid, dua tahun sebelum ini mereka me­numpang di rumah sewa salah seorang anaknya yang turut dijadikan bengkel kereta di Kampung Buluh.

“Sejak berkahwin, saya dan suami, Mat Nasir Ismail, 48, yang berkerja kampung menyewa di beberapa buah rumah sekitar Kuala Berang sehingga yang terakhir tumpang rumah sewa anak.

“Kami buat keputusan bina pondok di tapak rumah kami serta tinggal di sini demi kese­lesaan walaupun tiada kemudahan asas kerana anak telahpun berkeluarga selain rumah sewa tersebut penuh dengan barangan membaiki kereta.

“Mulanya saya dan suami sahaja tinggal di sini namun tidak lama kemudian empat lagi anak-anak saya yang berumur antara 11 tahun hingga 22 tahun ingin tinggal bersama selain menantu perempuan berumur 19 tahun serta seorang cucu berusia dua tahun setengah,” katanya ketika ditemui.

Mazilah yang menghidap penyakit kencing manis berkata, dengan pendapatan suami tidak menentu serta elaun kerjanya sebagai tukang cuci sebanyak RM1,000 memaksa mereka menjalani kehidupan serba kekurangan kerana itu sahaja pilihan yang ada.

“Suami hidap asma kronik, tidak boleh buat kerja-kerja berat. Pondok kami tinggal ini dibina menggunakan barang terpakai, sumber air dari paya berdekatan dan cahaya pula guna lampu solar.

“Pernah beberapa kali sepanjang tinggal di pondok ini saya dengar harimau mengaum. Saya hanya mampu berdoa agar tiada berlaku apa-apa, kadangkala tidak tidur semalaman kerana bimbang keselamatan dan pernah juga didatangi ular sawa.

“Duit yang ada cukup untuk belanja keperluan harian termasuk persekolahan anak-anak. Rumah kami bina tidak siap-siap sampai sekarang kerana kekangan kewangan, suami juga berkebun tanam pisang di kawasan ini,” katanya.

Kata Mazilah, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk persekolahan anak-anaknya sebanyak RM 1,800 setahun dan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berjumlah RM3,000 diterimanya yang sedikit sebanyak dapat meri­ngankan beban.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×