‘Kehilangan’ mural ikonik Tun Mahathir cetus tanda tanya

‘Kehilangan’ mural ikonik Tun Mahathir cetus tanda tanya

DINDING bangunan yang sebelum ini memaparkan mural Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pekan Melayu, Alor Setar, kini kosong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: ‘Kehilangan’ mural ikonik yang memaparkan wajah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pekan Melayu di sini yang dipercayai dipadam beberapa minggu lepas mencetuskan tanda tanya.

‘Kehilangan’ mural tersebut yang dilukis pada 2015 juga mengundang persoalan dalam kalangan penduduk dan orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu sejak kebelakangan ini.

Tinjauan mendapati dinding mural tersebut kini hanya disaluti cat putih sepenuhnya dan setakat ini tiada sebarang kenyataan daripada mana-mana pihak berkaitan perkara itu.

Seorang penduduk, Salmi Ali, 40, memberitahu, dia menyedari tentang kehilangan mural tersebut ketika melalui jalan berkenaan semalam.

GAMBAR lama Dr. Mahathir Mohamad ketika melawat bangunan yang memaparkan mural wajahnya di Pekan Melayu, Alor Setar.

“Semalam bila lalu jalan baru perasan. Mural Tun Mahathir sudah tiada. Saya sendiri tidak pasti apa sebabnya tetapi saya berharap pihak terlibat akan menggantikan semula lukisan mural ini di sini atau di tempat lain.

“Sayang kalau terus tiada kerana mural Tunku Abdul Rahman masih ada di bangunan sebelah sana, saya cuba bersangka baik mungkin mereka mahu melukis semula mural wajah beliau di sini,” katanya.

Bagi Zulina Kamaruddin, 25, dia menyedari tentang perkara itu beberapa hari lepas ketika diberitahu oleh rakannya yang sering menggunakan jalan itu untuk ke tempat kerja.

“Pelik juga, tiba-tiba hilang. Harap ada jawapan di sebalik perkara ini. Kenapa mural ini dipadamkan begitu sahaja. Mungkinkah mereka akan melukis mural baharu sebab yang lama pun sudah pudar.

“Mural ini bukan sembarangan kerana simbol kebanggaan orang Kedah kepada pemimpin berkenaan. Kalau dipadam terus hilang seni dan nilai sejarah kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu menurut seorang pekerja di premis berkenaan yang ingin dikenali sebagai Hasan, 20-an, pemilik baharu premis berkenaan terpaksa memadam mural tersebut ketika mengubahsuai bangunan tersebut baru-baru ini.

“Majikan saya memberitahu keadaan bangunan ini sudah uzur dan pudar termasuklah mural tersebut jadi ia terpaksa dicat. Namun mural Tun Mahathir akan dilukis semula selepas bangunan ini diubah suai nanti,” katanya.

Mural tersebut dilukis pada Jun 2015 oleh sekumpulan pelukis profesional memaparkan potret Dr. Mahathir di samping Menara Berkembar Petronas dan kereta Proton Saga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×