PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) terus turun kepada 3.4 peratus pada April 2025, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penurunan itu disebabkan daripada sektor perlombongan yang jatuh 17.8 peratus disebabkan oleh penurunan dalam pengekstrakan petroleum mentah (-19.8 peratus) dan pengekstrakan gas asli (-11.6 peratus).
“Sektor pembuatan juga mencatatkan penurunan 2.6 peratus berbanding Mac 1.8 peratus dengan penyusutan dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-15.7 peratus).
“Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan merekodkan peningkatan sederhana 2.6 peratus, disokong terutamanya oleh subsektor penanaman tanaman kekal (5.9 peratus).
“Sektor bekalan elektrik dan gas mencatatkan penurunan marginal 0.6 peratus, manakala sektor bekalan air mencatatkan peningkatan perlahan 0.9 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, IHPR Pengeluaran Tempatan menurun 1.0 peratus pada April 2025, berbanding penurunan 0.6 peratus pada Mac 2025.
“Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan mencatatkan penurunan 6.0 peratus, disebabkan oleh subsektor penanaman tanaman kekal yang susut 8.1 peratus.
“Sektor perlombongan turut susut 1.2 peratus, disebabkan oleh pengekstrakan petroleum mentah (-3.6 peratus) dan sektor pembuatan menurun 0.5 peratus, dengan penurunan dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-2.0 peratus) dan pembuatan produk makanan (-1.0 peratus).
“Namun begitu, sektor bekalan elektrik dan gas meningkat 0.3 peratus dan sektor bekalan air mencatatkan peningkatan 1.3 peratus,” ujarnya.
Mengulas lanjut, semua kategori IPHR mencatatkan penurunan pada April 2025 secara tahun ke tahun.
“Indeks bahan mentah untuk diproses selanjutnya mencatatkan penurunan ketara 9.2 peratus, terutamanya disebabkan oleh penyusutan ketara dalam Bahan bukan makanan (-11.2 peratus).
“Indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen menurun 2.2 peratus, dipengaruhi oleh bahan api yang diproses dan pelincir yang susut 10.3 peratus.
“Sementara itu, indeks barang siap mencatatkan penurunan sederhana 1.4 peratus, dipacu oleh penurunan 1.9 peratus dalam Kelengkapan modal,” katanya.
Menurut Mohd.Uzir, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya susut 4.2 peratus dan indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen serta barang siap masing-masing menurun 0.2 peratus dan 0.5 peratus.
“Perbandingan dengan negara terpilih menunjukkan trend bercampur dalam IHPR bagi April 2025. IHPR Amerika Syarikat meningkat 2.4 peratus, perlahan berbanding peningkatan 3.4 peratus pada bulan sebelumnya.
“IHPR Jepun juga meningkat 4.0 peratus, berbanding peningkatan 4.3 peratus pada Mac 2025, terutamanya dipacu oleh sektor kelengkapan pengangkutan serta petroleum dan arang.
“Sebaliknya, harga pengeluar China terus menurun 2.7 peratus, selepas penurunan 2.5 peratus pada bulan sebelumnya menjadikan ia bulan ke-31 berturut-turut harga pengeluar mencatatkan deflasi,” ujarnya.-UTUSAN










