Malaysia, Laos jalin hubungan strategik perdagangan Rel-Laut

Malaysia, Laos jalin hubungan strategik perdagangan Rel-Laut

AZMAN Shah Mohd. Yusof (dua dari kanan) bertukar MoU dengan Chanthone Sitthixay sambil disaksikan oleh Anwar dan Sonexay Siphandone.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Laos menjalin kerjasama untuk mengukuhkan perdagangan rentas sempadan melalui pengangkutan rel dan laut menerusi pertukaran Memorandum Kerjasama (MoC) antara Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dan Thanaleng Dry Port (TDP) yang berlangsung di sini semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MMC Port Holdings Sdn Bhd (MMC Ports), Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, kerjasama ini mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab logistik serantau dan selari dengan usaha mempertingkatkan kesalinghubungan ASEAN.

Beliau berkata, inisiatif ini bukan sahaja mempromosikan integrasi pengangkutan multimodal antara gabungan rel dan laut, malah dapat mengurangkan masa transit dan kos logistik, mempertingkatkan kecekapan rantaian bekalan, serta merangsang pertumbuhan ekonomi serantau.

“Kami berbesar hati menyumbang kepada usaha TDP dalam merealisasikan strategi nasional Laos untuk berubah daripada negara tanpa laluan laut kepada negara yang mempunyai hubungan darat yang luas.

“Kerjasama ini menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk utama perdagangan antara Asia Tenggara tanah besar dan pasaran global, di samping menyokong aspirasi Laos menjadi ekonomi yang terhubung darat,” katanya semalam.

Terdahulu, pertukaran MoC itu dilakukan oleh Azman Shah dan CEO PTL Holding Co. Ltd (PTLH), Chanthone Sitthixay.

Ia turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone.

PPSB merupakan anak syarikat kepada MMC Ports, manakala PTLH ialah syarikat induk kepada Vientiane Logistics Park Co. Ltd., pengendali TDP.

Kerjasama ini adalah sebahagian daripada inisiatif lebih besar di bawah Rangkaian Rel Pan-Asia, yang mengintegrasikan Laluan Rel China-Laos untuk membentuk laluan perdagangan strategik meng­hubungkan selatan China melalui Laos dan Thailand ke Pantai Barat Malaysia.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×