PETALING JAYA: Myanmar perlu mematuhi Konsensus Lima Perkara (5PC) dan menghentikan sebarang permusuhan dan melaksana gencatan senjata sebelum mengadakan pilihan raya yang dijangka pada tahun ini.
5PC yang dipersetujui pada Sidang Khas Pemimpin ASEAN pada 2021 di Jakarta, Indonesia, merupakan usaha ASEAN untuk menamatkan krisis politik dan kemanusiaan di Myanmar susulan rampasan kuasa oleh junta tentera di negara itu.
Ia menggariskan lima tunjang iaitu menghentikan keganasan, dialog konstruktif, bantuan kemanusiaan, menjadikan ASEAN sebagai perantara, serta lawatan wakil khas ASEAN ke negara itu.
Itu isyarat jelas dan pendirian tegas melibatkan Negara-Negara ASEAN terhadap Myanmar yang sebelum ini melanggar 5PC berulang kali.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perbincangan perlu diadakan dengan semua negara ASEAN bersama Myanmar bagi memastikan proses gencatan senjata dihentikan.
Selain itu katanya, Myanmar yang ditadbir junta tentera perlu memberi akses bantuan kemanusiaan di kawasan yang terkesan akibat bencana di negara berkenaan.
“Kita (negara ASEAN) perlu berbincang dengan semua pihak berkepentingan dan pastikan 5PC, permusuhan dihentikan dan gencatan senjata dilaksanakan.
“Kemudian barulah kita boleh bercakap soal pilihan raya. Kita mahukan proses berkenaan inklusif dan merangkumi semua pihak berkepentingan,” katanya ketika sidang akhbar Menteri Luar sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini semalam.
Mohamad bagaimanapun berkata, negara-negara ASEAN tidak berhasrat mengenakan sebarang sekatan atau tindakan lain dikenakan terhadap Myanmar walaupun negara terbabit telah melanggar 5PC berulang kali.
Sebaliknya, kata beliau, semua Negara-Negara Anggota ASEAN bersetuju menggunakan pendekatan dan saluran lain yang lebih berdiplomasi terhadap negara yang dipimpin junta itu.
“5PC itu tonggak kepada penyelesaian yang telah dipersetujui bersama oleh ASEAN dan Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar.
“Apa yang kita mahukan sekarang ialah hentikan permusuhan dan laksanakan gencatan senjata serta pastikan semua pasukan yang menghantar bantuan kemanusiaan dapat masuk ke kawasan yang diperlukan. Apabila kita (negara ASEAN) dapat bersama-sama nanti, barulah kita pastikan mereka dipimpin secara demokratik sepenuhnya,” jelasnya.
Sementara itu, berhubung penyertaan Timor Leste dalam ASEAN, Mohamad berkata, negara berkenaan berpeluang diterima sebagai anggota penuh blok serantau itu.
Namun katanya, Timor Leste perlu memenuhi segera instrumen undang-undang yang ditetapkan.
“Tetapi kita akan cuba yang terbaik untuk membantu Timor-Leste sebab kebanyakan negara ASEAN ingin melihat Timor-Leste menjadi sebahagian antara keluarga kita, tetapi Timor-Leste perlu bekerja kuat untuk memenuhi segala pra syarat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, ASEAN akan meneliti permohonan Ukraine untuk menjadi Rakan Dialog Sektoral dengan perbincangan lanjut akan dijalankan di peringkat pegawai kanan.
Menurutnya, perkara itu telah dirujuk kepada Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN (SOM) bagi meneroka bagaimana ASEAN boleh menjalin kerjasama dengan Ukraine pada masa hadapan.
“Ukraine, saya rasa kita sudah pun meminta agar peringkat SOM mereka membuat pertimbangan lanjut, supaya kita dapat meneroka kaedah terbaik untuk menjalin kerjasama dengan Ukraine dalam perjanjian ini,” katanya.
Mohamad ketika ditanya berkenaan cadangan untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) berkata, Malaysia masih menunggu maklum balas rasmi dari negara berkenaan.
Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghantar surat kepada kepimpinan AS bagi menyatakan hasrat ASEAN untuk mengadakan sidang kemuncak berkenaan tahun ini. – UTUSAN










