KUALA LUMPUR: Persembahan muzik ghazal menjadi pembuka tirai penganjuran Panggung Seni Tradisional (PST) 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Dalam persembahan Irama Ghazal Johor pada 23 dan 24 Mei itu ia ditampilkan dalam bentuk ‘mini okestra’ menerusi tiga segmen utama iaitu Ghazal Asli, Ghazal Semasa dan Ghazal Pelbagai Ragam di bawah pimpinan Johari Arshad selaku pengarah persembahan dan Saiful Radzuan sebagai pengarah muzik.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Sektor Dasar dan Perancangan JKKN, Mohd. Radzi Omar, melodi lembut, lirik puitis serta gabungan muzik dan puisi menjadikan ghazal sebagai medium penyampaian penuh emosi.
Ia sekali gus mengangkat keindahan bahasa serta nilai spiritual dan sejarah, yang kini dilihat semakin diminati oleh golongan muda.
“Kehadiran ramai generasi muda dalam kalangan artis persembahan membuktikan bahawa seni muzik tradisional seperti ghazal masih segar dan terus mendapat tempat dalam kalangan Gen Z.
“Saya melihat sendiri dalam persembahan semalam, ramai pemainnya adalah anak muda. Ini menunjukkan seni tradisional bukan sekadar bertahan, tetapi terus berkembang bersama generasi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia di sini kelmarin.
Beliau dalam pada itu mengakui, walaupun muzik moden dilihat menjadi pilihan utama anak muda, muzik ghazal tetap mempunyai kekuatan tersendiri dalam menyentuh emosi dan menyampaikan mesej berjiwa.
“Melodi dan lirik ghazal amat menarik, bila saya dengar, saya rasa tenang. Pada saya, ghazal ini boleh dianggap sebagai bentuk healing yang meredakan jiwa,” jelasnya. – UTUSAN











