RUU Pekerja Gig bakal lindungi pemandu, kekal fleksibiliti platform

RUU Pekerja Gig bakal lindungi pemandu, kekal fleksibiliti platform

AFZAN LUTFI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

USAHA kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) khusus bagi melindungi pekerja gig, termasuk pemandu e-hailing, dilihat sebagai langkah penting dalam mengimbangi hak dan tanggungjawab antara penyedia platform serta pekerja bebas.

Dalam konteks landskap ekonomi digital yang semakin pesat berkembang, RUU ini dijangka merungkai kekeliruan status pekerja gig, memperkukuh perlindungan sosial serta memastikan fleksibiliti kerja terus terjamin.

Wartawan Utusan Malaysia, SABRINA ZULKIFLI, berpeluang mewawancara Pengurus Besar Bolt Malaysia, AFZAN LUTFI serta seorang pemandu Bolt, ZULHIJAHWATI MUSA, bagi mendapatkan pandangan kedua-dua pihak terhadap perkembangan ini. 

UTUSAN: Apakah pandangan Bolt terhadap cadangan RUU pekerja gig yang sedang dirangka kerajaan?

AFZAN: Bolt secara dasarnya menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan RUU pekerja gig kerana ia dapat menyelesaikan banyak isu struktural yang sudah lama dihadapi pemandu.

Ini termasuk isu perlindungan sosial, ketidaktentuan pendapatan dan ketiadaan jaminan sekiranya berlaku kemalangan atau kecemasan semasa bekerja.

Namun yang paling penting, ia perlu mengekalkan sifat fleksibel yang menjadi teras kepada sektor ini.

Bagaimana RUU ini boleh memberi impak kepada hubungan antara pemandu dan syarikat platform?

Hubungan antara pemandu dan syarikat seperti kami selama ini berbentuk kontrak bebas.

RUU ini dijangka memperkenalkan konsep ‘pekerja bebas bergantung’ (dependent contractor), yang mana pemandu tetap bekerja secara bebas, tetapi mempunyai hak minimum seperti insurans atau sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ini satu pendekatan seimbang kerana ia tidak mengubah keseluruhan struktur kerja gig tetapi mengiktiraf perlunya perlindungan asas.

 

Adakah Bolt sudah mula mengambil langkah proaktif bagi menyokong perlindungan pemandu?

Ya, kami telah memulakan beberapa inisiatif sejak awal termasuk menyediakan perlindungan insurans kemalangan percuma, bantuan kecemasan dan sokongan teknikal 24 jam.

Kami juga sedang dalam rundingan dengan beberapa pihak seperti institusi kewangan dan PERKESO untuk melaksanakan program caruman secara sukarela dan tersusun bagi pemandu.

Kami percaya tanggungjawab terhadap kesejahteraan pemandu tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu kerajaan.

 

Apakah perkara paling kritikal yang perlu diberi perhatian dalam penggubalan RUU ini?

RUU ini mesti dibangunkan melalui perbincangan menyeluruh dan libat urus dengan semua pemegang taruh termasuk pemandu itu sendiri.

Kita tidak boleh mengambil pendekatan ‘satu penyelesaian untuk semua’ kerana ada pelbagai jenis platform dan model kerja dalam ekonomi gig.

Selain itu, ia tidak boleh membebankan pemandu atau penyedia platform dari sudut kewangan mahupun operasi.

 

Bagaimana Bolt me­lihat masa depan sektor e-hailing di Malaysia pasca penggubalan RUU ini?

Kami yakin sektor ini akan terus berkembang selagi ada keseimbangan antara keperluan pasaran dan perlindungan pekerja.

Dengan dasar yang tepat, kita bukan sahaja boleh menarik lebih ramai pemandu berkualiti, malah meningkatkan keyakinan pengguna terhadap keselamatan dan kecekapan perkhidmatan.

RUU ini harus dilihat bukan sebagai beban, tetapi peluang untuk memodenkan sistem kerja gig agar lebih mampan dan adil.

 

Apakah saranan anda kepada kerajaan dalam melaksanakan RUU ini?

Kerajaan perlu memberi masa mencukupi kepada semua pihak untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baharu.

Program pendidikan dan advokasi kepada pemandu dan syarikat juga penting agar semua faham tanggungjawab masing-masing.

RUU ini akan menjadi penanda aras penting dalam melindungi pekerja ekonomi digital Malaysia dan Bolt bersedia untuk menjadi sebahagian daripada transformasi ini.

 

Dengan RUU Pekerja Gig yang bakal dibentangkan tidak lama lagi, apakah perubahan atau perlindungan yang anda secara peribadi ingin lihat diperkenalkan?

ZULHIJAHWATI: Bagi pemandu seperti saya, perkara yang paling penting ialah mempunyai garis panduan yang lebih jelas dan layanan yang adil tetapi tanpa kehilangan fleksibiliti yang membolehkan kami bekerja dalam bidang ini sejak awal lagi.

Saya tidak mempunyai gaji tetap, jadi kebolehan untuk mengurus masa sendiri amat penting, terutamanya kerana saya juga menjalankan perniagaan kecil dari rumah.

Jika RUU ini boleh membantu memastikan pendapatan yang lebih konsisten, penjelasan yang lebih baik tentang bagaimana tambang dikira dan mungkin juga sokongan apabila kami menghadapi masalah di jalan raya, itu memang satu perkara yang baik.

Saya cuma berharap apa sahaja yang akan diperkenalkan nanti masih membolehkan kami mengekalkan kebebasan untuk bekerja mengikut cara kami sendiri.

 

Apakah yang anda harap orang ramai dan pembuat dasar dapat fahami dengan lebih baik mengenai realiti kerja gig dalam industri e-hailing?

Saya rasa ramai yang tidak sedar betapa kami bergantung kepada kerja ini bukan sekadar untuk pendapatan sampingan, tetapi sebagai sumber rezeki utama kami.

Ia bukan sesuatu yang mudah dan ada hari yang baik, ada hari yang perlahan tetapi bagi orang seperti saya yang menyara keluarga dan mengurus komitmen lain, inilah yang membantu kami terus bertahan.

Saya berharap para pembuat dasar faham bahawa kebanyakan daripada kami bukan meminta layanan istimewa, cuma satu sistem yang adil dan memberi kestabilan tanpa menghilangkan fleksibiliti yang membolehkan ramai daripada kami terus bekerja.

Kami perlukan dasar yang mencerminkan cara kami benar-benar bekerja, bukan sekadar apa yang tertera di atas kertas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×