BOGOTA: Satu lawatan lapangan yang dianjurkan oleh sebuah universiti di Colombia berakhir dengan tragedi apabila sebuah bas yang membawa pelajar dan pensyarah terlibat dalam kemalangan maut di barat negara itu pada Sabtu mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan 11 lagi.
Siasatan awal mendapati pemandu bas berkenaan hilang kawalan ketika membawa 26 penumpang dari wilayah Tolima menuju ke Quindio.
Menurut Komander Polis Luis Fernando Atuesta, beberapa mangsa tercampak keluar dari kenderaan selepas bas itu merempuh penghadang di tepi Jambatan Helicoil di kawasan pergunungan Quindio.
“Beberapa penumpang tercampak dan jatuh ke dalam jurang,” katanya, sambil menambah siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tragis itu.
Universiti Humboldt yang terletak di bandar Armenia, Colombia dalam satu kenyataan berkata pihaknya mengisytiharkan dua hari berkabung bagi memperingati kehilangan menyayat hati beberapa rakan sekerja, pelajar, pensyarah dan pegawai pentadbiran yang terlibat dalam nahas tersebut.
Pengarah universiti, Diego Fernando Jaramillo Lopez memaklumkan bas berkenaan membawa 22 pelajar, dua pensyarah dan seorang pegawai komunikasi semasa kejadian berlaku.
Kemalangan jalan raya merupakan antara punca utama kematian di Colombia.
Menurut pihak berkuasa lebuh raya negara itu, purata 22 kematian akibat nahas jalan raya direkodkan setiap hari sepanjang tahun 2024.










