Tindakan berhemah ASEAN terhadap perubahan dasar ekonomi AS

Tindak balas berhemah ASEAN terhadap perubahan dasar ekonomi AS

TENGKU ZAFRUL Tengku Abdul Aziz ketika berucap pada Mesyuarat Asean Economic Community Council (AECC) ke-25 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindak balas ASEAN dalam menangani perubahan terkini pendirian ekonomi oleh Amerika Syarikat (AS) setakat ini adalah berhemah dan bijaksana, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada melakukan tindakan balas, blok serantau ini memilih untuk berdialog dan bekerjasama dengan komitmen jelas antara negara anggota ASEAN (AMS) untuk tidak mengenakan tindakan balas.

Beliau menegaskan bahawa komunikasi terbuka adalah penting sebagai kunci kepada hubungan yang seimbang dan mampan.

“Pendekatan berhati-hati ini telah mengelakkan peningkatan ketegangan dan mengekalkan asas hubungan antara ASEAN, bukan sahaja dengan AS tetapi juga dengan ekonomi utama lain,” katanya dalam ucapan sempena AECC ke-25 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari ini.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan berusaha sedaya upaya untuk mengemudi perbincangan yang tepat pada masa yang sesuai bersama rakan ekonomi yang tepat bagi tahun ini.

“Pada masa yang sama, kami juga perlu melihat secara dalaman kepada cara-cara untuk meningkatkan perdagangan intra-ASEAN bagi mengurangkan kebergantungan kita terhadap rakan luar,” katanya.

Mesyuarat AECC ke-25 akan membincangkan 11 agenda yang dipengerusikan oleh Tengku Zafrul.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong; Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei, Datuk Awang Mohd Amin Liew Abdullah, Menteri Perdagangan Kemboja, Cham Nimul, Menteri Perindustrian dan Perdagangan Vietnam, Nguyen Hong Dien, Menteri Perdagangan Indonesia, Budi Santoso dan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Laos, Malaithong Kommasith.

Wakil-wakil lain termasuk Timbalan Setiausaha Kementerian Perdagangan dan Industri Filipina, Allan B. Gepty, Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong, Menteri Perdagangan Thailand, Pichai Naripthaphan dan Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste, Francisco Kalbuadi Lay. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×