75 TAHUN GULA-GULA HACKS

75 TAHUN GULA-GULA HACKS

BARKATH ALI ABUBACKER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SETIAP rakyat Malaysia terutama generasi yang dilahirkan sebelum tahun milineum pastinya mempunyai memori tersendiri berkaitan gula-gula berjenama Hacks.

Jika ke kedai runcit berbekalkan 10 sen, kanak-kanak zaman itu boleh membeli dua biji gula-gula berkenaan, lazimnya memilih perisa madu dan limau. Perisa asli pula lebih digemari golongan berusia terutama untuk melegakan batuk dan tidak keselesaan tekak.

Di sebalik semua kisah itu, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa jenama itu dimiliki dan diusahakan oleh anak tempatan sejak 1950.

GULA-gula Hacks kekal dengan lima perisa sejak 1950 iaitu asli, madu dan limau, cengkih dan epal, mandarin dan halia serta blackcurrant. – MINGGUAN/IQBAL HAMDAN

BUKIT MERTAJAM: Tahun ini, genaplah 75 tahun kewujudan gula-gula jenama Hacks di Malaysia.

Bagi mereka yang meminati gula-gula itu, Hacks bukanlah satu jenama yang asing dalam kalangan rakyat, walaupun ia dikatakan berasal dari England, United Kingdom (UK).

Ini kerana, keunikan Hacks yang dirumus dengan herba untuk mengurangkan masalah batuk berjaya memenangi hati rakyat negara ini untuk satu tempoh yang lama.

Kini, kita sepatutnya berbangga kerana jenama terkenal dunia itu telah dimiliki sepenuhnya oleh anak tempatan iaitu Datuk Seri Barkath Ali Abubacker.

Pernah dikenali sebagai ‘Raja Hacks Dunia’, Barkath Ali merupakan seorang ahli perniagaan yang begitu merendah diri dan amat disenangi ramai.

Penasihat merangkap Pre­siden dan Pengerusi Kumpulan Barkath berusia 75 tahun itu banyak mewarisi sifat bapanya iaitu Allahyarham Abubacker Mohd. Hussain, pengasas kepada empayar berkenaan.

Selain Hacks, Kumpulan Barkath juga merupakan pemegang francais serta pengilang berlesen kepada jenama jus oren terkemuka iaitu Sunquick dari Denmark melalui anak syarikat, Barkath Co-Ro Manufacturing Sdn. Bhd.

Pada masa sama, mereka turut menghasilkan produk makanan dalam tin jenama Classfoods, Sarina, Kings dan Kikof, selain menjadi pengimport tunggal kepada beberapa produk lain.

Antara produk itu adalah pasta tomato Diga, ubat gigi herba Vicco, kayu wangi Cycle serta air mawar berjenama Raj Mahal Rose Water dan lain-lain.

Berbalik kepada Hacks, kisah ‘gula-gula batuk’ itu agak panjang, namun amat menarik untuk dihayati.

Kata Barkath Ali kepada Mingguan Malaysia, kegigihan bapanya untuk memasarkan jenama Hacks di negara ini serta Singapura lebih tujuh dekad lalu menjadi kekuatan untuknya terus mempertahankan syarikat sehingga hari ini.

Beliau yang pernah dihantar berguru sehingga ke London selama setahun untuk mempelajari selok-belok perniagaan gula-gula itu bersyukur kerana berpeluang menimba pelbagai ilmu perniagaan daripada arwah bapanya.

“Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, permintaan terhadap Hacks tidak pernah putus walaupun kita masih kekal untuk memasarkan hanya lima perisa sejak dahulu iaitu asli, madu dan limau, cengkih dan epal, mandarin dan halia serta blackcurrant sahaja.

“Ya, saya akui bukan senang untuk bertahan sehingga sekarang. Kalau sebut pasal pesaing, dari dulu kita sudah ada pesaing sebenarnya.

“Namun, Hacks ada keunikan dan peminatnya yang tersendiri kerana kita bukan gula-gula biasa. Mungkin perkara itu juga yang membuatkan jenama ini sentiasa dekat di hati rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui.

Jelas Barkath Ali, ketika ini, beliau dibantu oleh adik lelakinya, Anwar Kabir untuk me­nguruskan empayar perniagaan yang diamanahkan oleh arwah bapa mereka.

CABARAN KEKAL RELEVAN

OPERASI utama Kumpulan Barkath kini tertumpu di Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang menempatkan kilang dan pejabat urusan. – MINGGUAN/IQBAL HAMDAN

Seperti perusahaan lain yang berskala besar, Kumpulan Barkath juga tidak terlepas daripada cabaran untuk meneruskan survival perniagaan mereka.

Barkath Ali berkata, cabaran terbesar setakat ini adalah ketika berdepan pandemik Co­vid-19, hampir lima tahun lalu.

Katanya, ketika itu, jualan Hacks terutamanya di pasar raya besar merudum kerana pelanggan lebih mengutamakan keperluan harian.

“Jadi, kita terpaksa memikirkan satu kaedah terbaik bagi memastikan produk ini dapat dijual seperti biasa kerana stok masih banyak serta perlu dihabiskan.

“Maka, salah satu cara adalah dengan memberi fokus kepada pasaran lebih kecil iaitu pasar mini atau kedai runcit seperti permulaan perniagaan kita dahulu.

“Alhamdulillah, walaupun bisnes ketika itu agak perlahan, namun kita berjaya kembali kepada (penjualan) normal sebaik sahaja pandemik berakhir,” katanya.

Barkath Ali berkata, ketika ini, syarikatnya menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran antara 10 hingga 15 peratus membabitkan semua produk mereka terutamanya Hacks dan Sunquick pada setiap tahun.

“Kita mesti mengekalkan kadar pengeluaran ini dalam ke­adaan ekonomi dan harga barang yang tidak menentu sekarang,” ujarnya.

Jelasnya, cabaran terbesar ketika ini adalah untuk mengatasi masalah kenaikan harga bahan mentah terutamanya gula.

“Kebanyakan produk kita terutamanya Hacks dan Sunquick serta beberapa produk lain menggunakan gula sebagai bahan utama.

“Jadi, kita kena fikir strategi baharu bagi memastikan ke­naikan harga bahan itu tidak menjejaskan kualiti produk kita. Itu yang paling utama,” jelasnya.

Barkath Ali berkata, satu lagi cabaran yang dihadapinya adalah untuk memasarkan produk Hacks di negara jiran seper­ti Indonesia dan Filipina.

“Indonesia se­bagai contoh, me­reka guna sejenis gula yang agak murah (untuk menghasilkan gula-gula sendiri). Jadi, apabila Hacks masuk ke Indonesia, ia seakan mengganggu pasaran di sana. Maka, kita ambil keputusan untuk hentikan eksport ke sana buat sementara waktu.

“Begitu juga de­ngan Filipina. Me­reka juga ada gula yang murah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau gembira keran­a Hacks ketika ini sudah dite­rima dalam kalangan negara-negara ASEAN dan dipasarkan ke hampir seluruh Asia Tenggara.

Lebih membanggakan, syarikatnya mempunyai dua gudang untuk menyimpan produk Hacks di dua negara anggota ASEAN iaitu Singapura dan Brunei, selain gudang di Semenanjung, Sabah serta Sarawak.

Katanya, jenama Hacks juga gah di India dan dipasarkan di beberapa negara lain termasuk sekitar Eropah.

“Alhamdulillah, perniagaan kami masih bertahan walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran sepanjang lebih 70 tahun beroperasi demi meme­nuhi cita rasa rakyat Malaysia,” ujarnya.

HARAPAN DAN PERANCANGAN MASA HADAPAN

BARKATH Ali Abubacker menunjukkan katalog produk-produk keluaran syarikatnya.
– MINGGUAN/IQBAL HAMDAN

Menyedari empayar perniagaan yang dibina Allahyarham Abubacker memerlukan kesi­nambungan memandangkan dirinya juga semakin dimamah usia, Barkath Ali mula mempersiapkan anak-anaknya untuk mengambil alih perniagaan.

Kata Barkath Ali, beliau telah mendedahkan kesemua lima anaknya lebih awal tentang jatuh bangun yang perlu dilalui dalam bidang perniagaan.

“Anak-anak saya ada yang belajar di luar negara dalam bidang industri pembuatan makanan dan undang-undang. Yang lain, semua berada dalam industri ini terma­suk seorang di Kuala Lumpur.

“Adik saya (Anwar Kabir) pula ada tiga orang anak dan ketiga-ketiganya juga telah dilatih untuk menguruskan perniagaan keluarga ini.

“Semua main peranan ma­sing-masing dalam hal ini,” katanya yang berharap Kumpulan Barkath dapat menyambut u­lang tahun ke-100 pada 2040.

Mengenai perancangan terbaharu, beliau berhasrat untuk memper­kenalkan beberapa produk termasuk pes makanan segera seperti pes kari mulai tahun depan.

Katanya, produk sedia ada pula akan terus diperkasa dan diperkukuhkan pemasarannya buat masa ini.

“Daripada segi kilang atau gudang pula, kita tidak berhasrat untuk menambah atau memperbesarkan yang sedia ada dalam masa terdekat ini.

“Sekarang operasi utama Kumpulan Barkath tertumpu di Bukit Minyak (Bukit Mertajam). Di sini pejabat kita, di sini juga kilang.

“Fokus kita kini adalah untuk meningkatkan mutu produk dan perkhidmatan barangan keluaran syarikat Barkath,” ujarnya.

Ditanya mengenai rahsia kekal bertahan untuk tempoh yang lama, Barkath Ali hanya tersenyum.

“Berniagalah dengan ikhlas dan hargailah pekerja kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×