PASIR SALAK: Penduduk di Jalan Sungai Lampam-Teluk Intan, laluan kemalangan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) minggu lalu menyarankan lampu isyarat dibina di simpang tiga menghala ke Chuicak dan Langkap berdekatan lokasi nahas.
Ketua Kampung Sungai Lampam, Mohammed Nadzri Mat Taib, 60, berkata, ini bertujuan mengurangkan risiko kemalangan di laluan itu memandangkan laluan Sungai Lampam-Teluk Intan jalan yang sibuk dan banyak digunakan kenderaan berat.
Katanya, kebiasaannya kenderaan termasuk lori dipandu laju di laluan tersebut kerana jalannya lurus namun agak sempit.
Katanya, lokasi kemalangan tempoh hari hanya kira-kira 150 meter dari simpang tiga tersebut.
“Penduduk berpendapat lampu isyarat perlu dibina di simpang tiga menuju ke Chuicak dan Pekan Langkap dekat dengan lokasi trak kemalangan tempoh hari.
“Jika ada lampu isyarat, kami percaya pengguna lebih selamat. Kenderaan berat akan berhenti atau memperlahankan kelajuan apabila tiba di simpang tiga ini.
“Ini dapat mengelak kemalangan kerana simpang tiga ini merupakan simpang yang sibuk terutama pada waktu pagi ketika ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah selain penduduk ke sawah.
“Penduduk tidak berasa selamat kerana biasanya kenderaan dari Tapah, Kampar menuju ke Teluk Intan dan sebaliknya dipandu laju,” katanya.
Menurutnya, laluan itu juga kerap berlaku kemalangan disebabkan jalannya yang sempit dan ini membahayakan pengguna lain terutama jika dua kenderaan berselisih.
Katanya, sedangkan di kiri dan kanan laluan tersebut terdapat perkampungan dan penduduk keluar masuk untuk urusan seharian termasuk pesawah.
“Laluan Sungai Lampam-Teluk Intan sempit untuk kenderaan apatah lagi lori. Mungkin pihak yang berkenaan boleh melihat keperluan lain seperti melebarkan laluan ini untuk keselamatan pengguna selain menambah papan tanda amaran supaya memperlahankan kenderana di laluan ini,” katanya.
Dalam kemalangan 13 Mei lalu, sembilan anggota FRU terbunuh apabila trak dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di laluan tersebut.-UTUSAN.










