PETALING JAYA: Semua kelab Liga Malaysia (Liga M) dibenarkan mendaftarkan 15 pemain import, sekali gus menyaksikan saingan Liga Super Liga Super musim 2025/2026 menggunakan pendekatan seperti liga-liga di Eropah.
Perkara itu diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas badan penganjur Liga Malaysia (Liga M) itu mengadakan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) Ke-13 Bagi Penggal 2021-2025, semalam.
Menerusi kenyataan itu, MFL juga memaklumkan semua kelab Liga Super dibenarkan mendaftar 30 pemain keseluruhan manakala pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elite dan ACL 2 pula boleh menandatangani 34 pemain.
“BOD MFL telah bersetuju untuk meminda jumlah pendaftaran pemain iaitu 34 pemain untuk kelab yang bersaing dalam ACL Elite dan ACL2, 32 pemain untuk kelab-kelab lain kepada 30 pemain kepada semua kelab.
“Manakala semua kelab dibenarkan mendaftar pemain asing sejumlah 15 pemain dengan kuota pemain asing di atas padang seramai 7+2 (simpanan) dengan komposisi 4 terbuka+1 Asia+2 ASEAN.
“Berbanding 12 pemain asing dibenarkan didaftarkan oleh kelab ACLE dan ACL2 dan hanya 9 pemain asing bagi kelab-kelab lain dengan 6+1 (simpanan) pemain asing di atas padang menerusi komposisi 4 Terbuka+1 Asia+1 Asean sebelum ini,” kata MFL dalam satu kenyataan semalam.
Bagaimanapun, setiap kelab tidak diwajibkan untuk memenuhi kuota pemain asing ini sebaliknya ia bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan kelab masing-masing.
Dalam perkembangan sama, semua kelab turut dipantau menerusi pelaksanaan Financial Fair Play’ (FFP) dengan menguatkuasakan mekanisme gaji siling ‘salary cap’ sebanyak 80 peratus kepada setiap kelab musim ini.
“Pelaksanaan ini menyaksikan kelab tidak dibenarkan membelanjakan lebih daripada 80 peratus daripada jumlah bajet tahunan mereka untuk pembayaran gaji. Ini adalah langkah penting untuk mengawal perbelanjaan kelab agar tidak membebankan aliran tunai (cash flow) dan dapat memberi keutamaan kepada pembayaran gaji secara konsisten.
“Perubahan kuota import ini dibuat bagi memberi kesaksamaan kepada semua kelab dalam pendaftaran pemain import serta meningkatkan daya saing Liga Malaysia dengan kehadiran pemain import berkualiti berikutan jendela perpindahan pemain dalam tempoh sama dengan liga-liga besar luar negara.
“Kehadiran pemain import ini akan memberi daya tarikan kepada Liga M, sekali gus meningkatkan nilai komersial Liga M dan kelab-kelab yang bertanding,” kata MFL.
Selain itu pertambahan kuota pemain import ini dilihat akan dapat membantu kelab yang akan bersaing di kejohanan ACLE, ACL2 dan kejohanan Kelab Asia Tenggara memandangkan cabaran semakin hebat diberikan kelab-kelab besar di rantau ini.
Penyertaan di kejohanan kelolaan AFC penting bagi kedudukan ranking kelab AFC untuk membolehkan kelab-kelab Liga M terus mendapat slot atau pertambahan slot bersaing di pentas tertinggi Asia.
Aksi di peringkat tinggi ini penting untuk pendedahan pemain-pemain tempatan untuk menjadi tunjang kekuatan skuad Harimau Malaya yang berdepan cabaran besar dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027.-UTUSAN










