Dua Lans Koperal, bekas koperal didakwa terima rasuah

Dua Lans Koperal, bekas koperal didakwa terima rasuah

DUA anggota polis berpangkat Lans Koperal dan seorang bekas Koperal didakwa menerima rasuah ketika pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ipoh semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dan seorang bekas Koperal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM20,000 daripada seorang pesalah dadah, dua tahun lalu.

Tertuduh, Wan Mohd. Nor Imran Wan Seman, 35, yang kini bekerja sebagai pemandu lori bersama Ahmad Rabani Rusnizal, 29, dan Mohamad Shukre Mohamed Rowi , 37, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh yang bertugas di Unit Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Merbok didakwa secara bersama telah secara rasuah memperoleh satu suapan iaitu wang RM20,000 melalui pindahan wang daripada seorang lelaki berusia 37 tahun ke dalam akaun bank Ahmad Rabani.

Wang itu sebagai dorongan untuk ketiga-tiga tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap lelaki terbabit kerana memiliki dadah jenis syabu yang merupakan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di BSN-CPI Kamunting dalam daerah Larut, Matang dan Selama pada pukul 3 pagi, 24 dan 25 Julai 2023.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin mencadangkan setiap tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Siti Salwa Ja’afar yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jumlah jaminan minimum.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri pada hari Ahad pertama setiap bulan di Pejabat SPRM Sungai Petani sehingga selesai perbicaraan. Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 26 Jun depan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×