DALAM era digital yang semakin pesat berkembang, kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) membawa perubahan ketara dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk dunia akademik.
AI mampu menghasilkan esei, laporan, malah tugasan penuh dalam masa singkat hanya dengan satu arahan ringkas. Walaupun ia kemudahan moden, namun penggunaan AI tanpa etika dalam bidang akademik menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan pendidik dan institusi pendidikan tinggi (IPT).
Baru-baru ini, tular sejumlah besar pelajar di sebuah universiti awam dikesan menggunakan aplikasi AI seperti ChatGPT, Writesonic dan Copy.ai untuk menyiapkan tugasan kursus. Walaupun penggunaan teknologi dalam pembelajaran sememangnya digalakkan, namun ia tidak digunakan sebagai alat bantu belajar, tetapi sebagai ‘penulis hantu digital’ yang menyiapkan keseluruhan tugasan. Hal ini menimbulkan persoalan besar tentang kejujuran, integriti dan kesahihan pencapaian akademik.
Dalam konteks akademik, plagiat dianggap kesalahan serius termasuk dalam kategori jenayah akademik. Ia bukan sahaja mencerminkan ketidakjujuran individu, malah mencemarkan nama baik institusi dan menjejaskan kualiti sistem pendidikan negara.
Dengan kemunculan AI, sempadan antara ‘usaha sendiri’ dan ‘kerja orang lain’ semakin kabur. Jika seseorang pelajar memberikan arahan kepada AI dan menerima jawapan lengkap tanpa sebarang pengubahsuaian atau kefahaman sebenar, maka hasil tersebut bukanlah daripada pelajar tersebut, sebaliknya merupakan ciptaan algoritma yang tidak mempunyai kesedaran atau pengetahuan tentang konteks pembelajaran.
AI tidak mempunyai kesedaran moral atau etika. Ia berfungsi berdasarkan corak data yang dilatih ke atasnya. Apabila pelajar menggunakan AI untuk menjana tugasan tanpa menyunting atau memahami isi kandungan, mereka sebenarnya melakukan bentuk plagiat baharu, dikenali sebagai AI-generated plagiarism.
Jika budaya ini dibiarkan, maka ia akan memberi kesan besar terhadap sistem pendidikan. Pertama, ia melemahkan proses pembelajaran itu sendiri. Pelajar tidak lagi perlu membaca, memahami dan menganalisis maklumat, yang merupakan kemahiran asas dalam pendidikan tinggi.
Mereka hanya perlu memasukkan arahan dan menyerahkan hasilnya. Ini bukan sahaja menjadikan pelajar malas berfikir, malah mencipta generasi yang bergantung kepada mesin tanpa asas pengetahuan yang kukuh.
Kedua, ia menjejaskan nilai dan kredibiliti kelayakan akademik yang dikeluarkan universiti. Majikan yang mengambil graduan tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada kelayakan atas kertas kerana bimbang individu tersebut sebenarnya tidak memiliki kemahiran atau pengetahuan sebenar yang dituntut oleh bidang pengajian.
Ketiga, ia memberi tekanan tambahan kepada pensyarah serta tenaga pengajar yang terpaksa menilai hasil kerja bukan asli, sekali gus meletakkan beban ke atas sistem penilaian dan integriti akademik.
Dalam menangani isu ini, universiti awam perlu memperketatkan dasar berkaitan etika akademik, terutamanya dalam era digital. Polisi penggunaan AI perlu diwujudkan dengan jelas seperti bila, bagaimana dan sejauh mana ia boleh digunakan dalam pembelajaran. Di samping itu, institusi juga perlu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang kesan jangka panjang jenayah akademik. Program orientasi, bengkel etika penulisan ilmiah dan penerapan nilai integriti dalam kurikulum boleh menjadi langkah pencegahan yang berkesan.
Pelajar pula tidak boleh lari daripada tanggungjawab sebagai individu yang menuntut ilmu. Menipu dalam tugasan bukan sahaja menjejaskan reputasi diri, tetapi juga menghina nilai ilmu itu sendiri. Dalam Islam, menuntut ilmu merupakan satu ibadah. Maka, menggunakan AI untuk mendapatkan ‘ilmu segera’ tanpa usaha sendiri adalah satu pengkhianatan terhadap amanah keilmuan.-UTUSAN
MOHD KHAIRULAZMAN ABU BAKAR
Politeknik Hulu Terengganu (PHT)










