PENUBUHAN Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang akan memulakan operasi bulan hadapan serta penempatan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke dalam struktur organisasi tersebut, dilihat sebagai langkah awal kerajaan untuk memerangi salah laku di kawasan sempadan, kawasan yang telah lama dikenali sebagai “zon merah” kepada amalan rasuah dan ketirisan berbilion ringgit setiap tahun.
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyambut baik pendekatan ini secara prinsip, namun ingin menegaskan bahawa penubuhan satu lagi agensi tidak akan bermakna jika punca kegagalan sebenar tidak diatasi iaitu kegagalan watak dan integriti manusia yang menjalankan amanah.
Langkah Pemantauan SPRM: Wajar, Tetapi Bukan Solusi Mutlak
Meletakkan AKPS di bawah pemantauan langsung SPRM adalah satu langkah pencegahan yang bersifat simbolik dan positif. Kehadiran dua pegawai SPRM di dalam struktur AKPS sebagai Ketua Unit Integriti (KUI) dan pegawai pelaksana CeIO adalah isyarat bahawa kerajaan menyedari risiko tinggi yang wujud di dalam sistem kawal selia sempadan.
Namun, MCW ingin menegaskan bahawa pemantauan sahaja tidak mencukupi. Tanpa kuasa eksekutif yang jelas, tanpa laporan awam secara berkala dan tanpa komitmen politik untuk melaksanakan syor penambahbaikan SPRM, tindakan ini berisiko menjadi sekadar formaliti birokrasi yang tidak membawa sebarang impak besar.
Perlu Kuasa dan Perlindungan
MCW turut mengalu-alukan penempatan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) dalam struktur AKPS. Namun, sejarah menunjukkan bahawa ramai CeIO dalam agensi kerajaan sebelum ini telah dipinggirkan, dinafikan akses, malah dibuli secara profesional oleh kepimpinan agensi itu sendiri.
CeIO bukan sekadar ‘penjaga dokumen’, mereka mesti menjadi pemangkin perubahan budaya organisasi. Justeru, mereka perlu diberikan:
- Kuasa akses penuh kepada data dan proses dalaman tanpa sekatan.
- Perlindungan ke atas pelapor maklumat (whistleblowers) dan CeIO itu sendiri daripada tindakan balas.
- Autonomi untuk melaporkan terus kepada SPRM tanpa perlu kelulusan ketua jabatan.
Jika ini gagal dilaksanakan, MCW khuatir kehadiran CeIO akan menjadi kosmetik, mewarnai sistem yang masih membusuk dari dalam.
Kekosongan Jawatan Ketua Pengarah AKPS
Sehingga kini, jawatan Ketua Pengarah AKPS masih belum diisi, satu kegagalan yang tidak wajar berlaku. Bagaimana mungkin sebuah agensi sebesar AKPS, yang bakal menyatukan lebih 5,000 pegawai penguatkuasa dari pelbagai jabatan seperti Imigresen, Kastam dan agensi lain, dibiarkan ‘beroperasi tanpa kepala’?
MCW melihat kelewatan ini sebagai kelemahan pentadbiran yang membuka ruang kepada:
- Ketidakselarasan dasar dan arahan operasi;
- Kemunculan kuasa tidak rasmi dalam pengurusan dalaman;
- Potensi pengaruh luar mencatur pelantikan atas dasar politik dan bukannya merit.
Pelantikan Ketua Pengarah AKPS mesti dilakukan segera dan melalui proses bebas serta telus. Keutamaan harus diberikan kepada calon yang berintegriti tinggi, memiliki pengalaman dalam penguatkuasaan, dan tidak berkompromi dengan budaya politik atau sindiket sedia ada.
Masalah Sebenar: Watak Manusia, Bukan Sistem Baharu
MCW berpandangan tegas, masalah sebenar bukan pada sistem, bukan pada jabatan, tetapi pada manusia yang diberikan kuasa. Melebarkan birokrasi dengan menubuhkan agensi baharu tidak akan menyelesaikan masalah jika ia hanya mengitar semula watak-watak yang sama.
Ramai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang ditempatkan sebelum ini bersikap lembik, tidak berani membuat keputusan dan tidak mempunyai keberanian moral untuk menolak campur tangan luar atau tekanan politik. Tambahan pula, sebilangan pegawai Imigresen pula dilaporkan terlibat secara langsung dalam sindiket penyeludupan, pemalsuan dokumen dan pengeluaran permit palsu.
MCW menyeru agar kerajaan:
- Round-up pegawai-pegawai PTD dan penguatkuasa yang lemah, berisiko, dan bermasalah dari sudut integriti bukan sekadar menunggu mereka disabitkan di mahkamah.
- Tukarkan mereka atau desak mereka meletakkan jawatan sebagai langkah pembersihan sistemik.
- Fokus membina corps of excellence dalam perkhidmatan awam, latih dan tempatkan hanya pegawai terbaik di zon-zon kritikal dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dan diukur secara telus.
- Paling penting, hentikan pengaruh politik dalam isu penguatkuasaan dan risikan sempadan.
Perkuatkan Unit Risikan dan Penguatkuasaan
Daripada sekadar menubuhkan struktur AKPS, apa yang lebih mendesak ialah pengukuhan sebenar Unit Penguatkuasaan dan Unit Risikan dalam Jabatan Imigresen dan agensi sedia ada. Intelijen sempadan adalah benteng utama negara dan selama ini telah terbukti rapuh akibat ketirisan dalaman dan campur tangan pihak berkepentingan.
Tanpa pemerkasaan unit ini secara menyeluruh dan bebas politik, AKPS berisiko menjadi “pakai baju baharu tetapi tubuh lama masih sakit”.
Bangunkan Sistem, Bersihkan Watak Pelaksana
MCW menghargai usaha SPRM dan menyokong langkah awal pembentukan AKPS. Namun kami tidak akan berdiam diri jika melihat kegagalan asas berulang kembali dalam wajah baharu.
Reformasi sebenar tidak datang dari perubahan nama atau struktur semata-mata, ia lahir dari pemilihan watak pelaksana yang bersih, tegas dan berani. Rasuah di sempadan bukan sekadar isu pelaksanaan, ia adalah soal keberanian untuk menegakkan amanah walau ditekan dari atas, bawah atau luar.
MCW akan terus menjadi suara rakyat yang lantang menentang rasuah dan kelemahan tadbir urus, sama ada di sempadan atau di pusat kekuasaan.
“Rasuah di sempadan bukan isu penguatkuasaan semata-mata, ia cerminan kegagalan sistem dan sistem itu digerakkan oleh manusia.” – UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).










