PETALING JAYA: Kejohanan Skuasy Dunia di Chicago, Amerika Syarikat (AS) menjadi kayu pengukur terbaik menilai kemajuan barisan pemain negara yang sedang dipersiapkan bagi memburu slot ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA 2028).
Pemain No. 9 dunia, S. Sivasangari menjadi wakil Malaysia terbaik setelah mara sehingga ke suku akhir sebelum kecundang di tangan bintang No. 4 dunia, Olivia Weaver.
Dalam saingan lelaki menyaksikan Ng Eain Yow yang menghuni ranking No. 10 dunia tewas di pusingan ketiga kepada bintang No. 1 dunia, Mostafa Asal dari Mesir.
Cabaran Malaysia yang turut digalas Aira Azman, Rachel Arnold, Aifa Azman, Noor Ainaa Amani Ampandi dan Sanjay Jeeva masing-masing tersingkir di pusingan awal.
Setiausaha Kehormat SRAM, Nafzahizam Adnan berkata, pihaknya meletakkan sasaran pemain utama seperti Sivasangari dan Eain Yow untuk berada dalam kelompok empat terbaik dunia menjelang 2027.
“Saya dan SRAM yakin pingat Olimpik mampu kita raih pada LA 2028 dan memandangkan Sivasangari serta Eain Yow masih pertengahan 20-an, mereka ada ruang untuk mengejar kelompok teratas ranking dunia.
“Buat masa ini, dua atlet ini sudah tunjukkan kemampuan untuk mencabar, cuma potensi mereka masih belum dapat dikeluarkan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Baru-baru ini, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria menyuarakan pandangannya tentang keperluan atlet yang berjuang pada Sukan Olimpik memastikan diri mereka berada dalam ranking tiga terbaik dunia dan bukan setakat kelompok 10 terbaik yang belum pasti menjamin pingat emas.
Menjawab gesaan itu, Nafzahizam berkata, SRAM sememangnya berusaha ke arah matlamat tersebut dan sebab itu, pemain muda yang memiliki potensi besar seperti bekas naib juara remaja dunia, Aira ditawarkan program latihan ke luar negara.
Tidak mudah melahirkan jaguh sehebat Nicol kerana jika SRAM berjaya berbuat demikian sekali lagi, bukan hendak bercakap besar tetapi pingat emas Olimpik mampu dijelmakan menerusi sukan skuasy. – UTUSAN









