Sajian warisan rasa Nyonya sentuhan ‘otai’

Sajian warisan rasa Nyonya sentuhan ‘otai’

florence Tan menunjukkan hidangan udang masak lemak nanas cara nyonya yang menggunakan pelbagai rempah ratus dan herba untuk membangkitkan rasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sudah lama tidak bertemu dan merasai hidangan peranakan nyonya hasil air tangan Cef selebriti, Florence Tan yang terkenal dengan kemahiran masakan warisan tersebut.

Ikon masakan nyonya yang sudah mencecah usia 81 tahun itu masih bertenaga menghidangkan masakan isitmewa, khas untuk pengunjung Restoran JPteres di Grand Hyatt Kuala Lumpur.

Tiga masakan eksklusifnya iaitu udang masak lemak nanas, ayam masak buah keras dan ikan chuan chuan yang menggunakan ikan siakap dimasak bersama bawang putih, halia dan taucu.

“Udang masak lemak nanas cara nyonya berbeza dengan masakan Melayu atau Negeri Sembilan. Dalam masakan Melayu, masak lemak hanya menggunakan kunyit dan cili padi.

“Resipi masakan nyonya pula menggunakan lapan jenis bahan herba dan rempah seperti cili kering, bawang merah, bawang putih, lengkuas, belacan, buah keras, kunyit dan serai. Nanas tanpa empulur dimasak sehingga lembut sebelum dimasukkan santan,” katanya.

Florence berkata demikian ketika ditemui pada sesi promosi Masakan Peranakan di Grand Hyatt Kuala Lumpur bersama media, baru-baru ini. Promosi itu sempena program acara makan eksklusif, Dine With Chef 2025, bertemakan ‘Newstalgia: Memories Reinvented’; satu penghormatan hidangan yang membentuk individu.

Katanya, resipi ikan chuan chuan menggunakan ikan siakap yang dicelup tepung dan digoreng ranggup.

Ia dimasak bersama hirisan halia, bawang putih, halia dan taucu.

Setiap kunyahan menerbitkan rasa enak dengan kulit ikan garing dan isi yang lembut.

Ayam masak buah keras juga tidak mengecewakan kerana kuah yang pekat membuatkan pengunjung bertambah makan.

Lebih menarik,masakan itu tidak menggunakan santan sebaliknya hanya menggunakan buah keras untuk rasa lemak.

Bagi memastikan masakan Nyonya terus kekal, Florence pernah menghasilkan dua buku resipi masakan Nyonya khas untuk rujukan generasi akan datang.

Berkongsi rahsia masih kekal bertenaga, Florence amalkan bersyukur setiap kali bangun pagi kerana diberikan kesihatan dan bebas daripada penyakit tiga serangkai atau penyakit kronik yang biasanya menyerang individu seusianya.

“Masalah saya cuma satu iaitu mengalami insomnia sejak dua tahun lalu. Saya terpaksa makan ubat sebelum tidur walaupun ada yang bimbang kesan jangka panjang. Saya pun sudah 80-an. Apa yang penting saya boleh tidur dan tidak sakit kepala bila bangun.

“Sakit lain, gastrik. Masalah sakit tulang biasalah bagi orang berusia seperti saya. Syukurlah pada tuhan kerana kita boleh berjalan dan bekerja. Dahulu, saya biasa jalan laju. Ketika jadi guru, saya suka berlari. Jadi, anak-anak murid juga ikut lari,” katanya.

Bergelar Cef, Florence tidak goyang kaki dan mengarah pembantunya sahaja, sebaliknya semua proses masakan dilakukan dengan kudratnya sendiri termasuk menyediakan bahan-bahan dan rempah ratus masakan.

Dalam usia yang semakin lanjut, beliau hanya ingin berehat dan menghabiskan masa di rumah selepas lebih 50 tahun bekerja.

Namun, kerjasama yang dijalankan bersama Grand Hyatt itu tidak dapat ditolak.

ANEKA HIDANGAN ISTIMEWA

Selain hidangan disediakan Florence, bufet ini juga turut menampilkan pelbagai hidangan lain seperti masakan cita rasa India dan Cina.

Pembuka selera pula terdapat aneka kerabu dan sate ayam yang dimakan bersama kuah kacang.

Barisan bufet pemanis mulut yang terletak di pintu masuk restoran menghidangkan kuih-muih warisan nyonya seperti kuih lapis, kuih angku dan kuih Melayu seperti cara berlauk.

Tidak ketinggalan, kek span yang gebu dan aneka kek serta pastri yang memikat hati untuk penggemar pencuci mulut.

Acara makan sepanjang bulan ini menghimpunkan kerjasama eksklusif dengan cef tempatan dan antarabangsa yang terkenal dengan seni kulinari masing-masing.

Diketuai oleh pasukan Grand Hyatt Kuala Lumpur, Dine With Chef tahun ini turut membabitkan cef dari Hyatt Centric City Centre Kuala Lumpur yang baharu dibuka, Park Hyatt Kuala Lumpur dan Hyatt Regency Kuala Lumpur di KL Midtown yang bakal dilancarkan.

Bermula dari 14 hingga 16 Mei ini, nikmati bufet makan tengah hari Peranakan pada harga RM128 bersih untuk dewasa dan RM64 bersih untuk kanak-kanak.

Saksikan juga Gerai Session eksklusif pada 17 Mei dengan harga RM158 nett.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×