Cabaran guru memacureformasi pendidikan

Cabaran guru memacu reformasi pendidikan

EKOSISTEM yang mesra guru perlu diwujudkan supaya golongan pendidik boleh memberi perhatian sepenuhnya kepada agenda pemerkasaan generasi masa hadapan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMA Hari Guru yang akan disambut pada Jumaat ini, ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’ bukan sahaja menterjemahkan harapan yang tinggi tetapi turut meletakkan tanggungjawab berat di bahu guru dan pentadbir untuk memastikan semua perancangan berkaitan pendidikan benar-benar memberi kesan juga impak kepada keseluruhan ekosistem pendidikan negara.

Tuntasnya reformasi pendidikan perlu diterajui guru selaku pemain utama dengan menangani segala cabaran sekali gus menggembleng tenaga, usaha, idea dan iltizam bagi memacu reformasi untuk melahirkan generasi berilmu, berakhlak serta mampu berdaya saing pada peringkat global.

Dalam konteks ini, kita perlu perhalusi pelbagai cabaran kompleks yang sedang dihadapi guru selain meneliti kesediaan mereka memikul amanah berat ini.

Dalam Majlis Amanat Ketua Pengarah Pendidikan sempena pembukaan sesi persekolahan 2025/2026, Datuk Azman Adnan membentangkan lapan keutamaan Kementerian Pendidikan (KPM) yang akan diberikan tumpuan dalam pelaksanaan reformasi pendidikan mulai sesi persekolahan 2025/2026.

Lapan keutamaan itu termasuk menangani isu keciciran murid, mengukuhkan kepimpinan pendidikan madani, meningkatkan profesionalisme guru serta memperkasakan penguasaan literasi dan numerasi murid. Selain itu, KPM turut menggariskan lima prinsip utama sebagai panduan pelaksanaan reformasi iaitu berasaskan data, daya tahan, berorientasikan keberhasilan, pandu arah dan kecekapan sumber.

Sebelum itu, KPM turut mengumumkan enam agenda dalam menyokong hala tuju negara termasuk memartabatkan bahasa Melayu, memperkukuhkan bahasa Inggeris, pendidikan digital, pemerkasaan kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), peluasan selain pengukuhan prasekolah, pelan pendidikan selain kurikulum prasekolah.

Secara umumnya KPM sudah ada penetapan agenda, hala tuju dan keutamaan yang jelas untuk memacu reformasi pendidikan negara ini. Justeru perkara penting perlu untuk memastikan guru dan pentadbir bersedia merealisasikan agenda islah tersebut secara bijak tanpa sebarang tekanan mahupun kekangan.

Hakikatnya tugas guru semakin kompleks serta mencabar dalam membentuk acuan bakat generasi masa hadapan negara khususnya dalam era pascanormal, ledakan teknologi maklumat dan komunikasi selain cabaran dunia ketidakstabilan, ketidakpastian, kerumitan dan kekaburan (VUCA).

Ini ditambah pula dengan pelbagai tuntutan ekspektasi daripada ibu bapa yang mahu melihat anak mereka cemerlang serba serbi baik dari segi akademik mahupun kokurikulum.

Sedar atau tidak pelbagai cabaran yang muncul pada ketika ini dalam menjalankan tugas sebagai guru selain kesukaran untuk beradaptasi dengan perubahan baharu menyebabkan sebilangan dari golongan pendidik memilih untuk bersara awal.

Justeru reformasi pendidikan mesti mengutamakan inisiatif memperkasa profesionalisme serta membantu guru mendepani segala cabaran yang ada selain terus menjaga dan meningkatkan kebajikan.

Anggota masyarakat meletakan harapan yang tinggi terhadap institusi pendidikan negara khususnya kepada guru di peringkat sekolah agar dapat mendidik, membimbing dan membentuk anak-anak mengikut acuan diperlukan bagi mendepani pelbagai cabaran yang mendatang.

Misalnya ibu bapa mahu guru menerapkan pelbagai kemahiran seperti pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kreativiti dan komunikasi berkesan agar pelajar mampu menyesuaikan diri dalam situasi yang tidak menentu yakni mendepani era VUCA.

Harus diingat kecemerlangan akademik semata-mata belum cukup untuk menjamin masa hadapan pelajar yang baik sebaliknya perlu lahirkan generasi muda holistik melalui pendidikan inklusif.

Gabungan kecemerlangan akademik, kemahiran insaniah serta nilai-nilai murni yang membentuk sahsiah terpuji diyakini mampu melahirkan warganegara bertanggungjawab yang boleh memberikan sumbangan bermakna kepada keluarga, agama, bangsa dan negara.

Maka, guru perlu dipersiapkan dengan sewajarnya supaya mampu menzahirkan dan merealisasikan hasrat murni ini. Generasi guru yang ada pada hari ini perlu terus dibimbing melalui program pembangunan profesional berterusan seperti latihan dalam perkhidmatan.

Guru juga perlu disediakan ruang secukupnya untuk mengikuti program peningkatan kompetensi yang sewajarnya termasuk peluang memperkasa penguasaan kemahiran pedagogi khususnya bagi memenuhi tuntutan semasa dengan mengintegrasikan teknologi digital dalam pengajaran. Malah guru juga perlu terus dibantu untuk menguasai kaedah pengajaran yang lebih kreatif dan inovatif.

TERUS BERI PERHATIAN TERHADAP ISU LAPUK
Selain itu isu lapuk yang masih diperdebatkan seperti beban tugas bukan pengajaran wajar terus diberi perhatian supaya guru boleh memberikan sepenuh tumpuan dalam proses pengajaran, pembelajaran serta pembangunan karakter murid.

Jadi, jika kita mahu guru benar-benar memainkan peranan untuk membentuk serta melahirkan generasi madani yang cemerlang akademik dan sahsiah maka perlu mewujudkan ekosistem yang lebih mesra guru supaya mereka boleh memberikan perhatian sepenuhnya kepada agenda pemerkasaan generasi masa hadapan negara.

Kekurangan infrastruktur, ketidakseimbangan akses serta kemudahan terutamanya di kawasan luar bandar yang masih menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran turut memberikan cabaran besar kepada guru.

Diharap usaha untuk menambah baik segala kemudahan di sekolah dapat diteruskan secara agresif dan konsisten bagi membolehkan guru serta murid menikmati sesi pengajaran mahupun pembelajaran yang lebih kondusif.

Keperluan kebajikan guru terutamanya dalam aspek kesejahteraan dan kesihatan mental juga wajar dititikberatkan. Budaya kerja yang mengutamakan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan perlu diberi penekanan serius kerana secara prinsipnya guru berhadapan dengan pelbagai cabaran emosi. Ia menyumbang kepada tekanan dan keletihan. Kita tidak mahu guru terus dihantui masalah kelesuan fizikal, emosi dan mental.

Hakikatnya tugas guru semakin kompleks sekali gus memberikan cabaran yang besar dalam merealisasikan konsep karamah insaniah dalam usaha melahirkan Anak yang baik lagi cerdik (ABC) melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti seperti yang digariskan KPM.

Semoga inisiatif berterusan pihak kementerian dalam menambah baik profesionalisme perguruan dan meningkatkan kebajikan warga pendidik dapat menyuntik semangat guru untuk memacu reformasi pendidikan demi melahirkan generasi madani yang diidamkan.

Selamat menyambut Hari Guru kepada seluruh warga pendidik.-UTUSAN

PENULIS ialah Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Serdang & Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat) Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×