ISU kekurangan kemahiran digital dalam kalangan pekerja di Malaysia merupakan satu cabaran besar, terutamanya apabila sektor ekonomi negara dilihat semakin berkembang pesat dengan pengaruh teknologi moden.
Justeru itu, Profesor Kewangan dan Keusahawanan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, majikan perlu melabur dalam latihan dalaman seperti kursus berkaitan analitik data, pemasaran digital, automasi pejabat dan keselamatan siber untuk semua peringkat pekerja, bukan hanya kakitangan teknologi maklumat (IT).
“Selain itu, budaya pembelajaran sepanjang hayat harus diterapkan supaya pekerja sentiasa terdorong untuk meningkatkan kemahiran mereka, misalnya dengan memberi pengiktirafan atau insentif kepada mereka yang proaktif belajar.
“Majikan juga boleh bekerjasama dengan institusi pendidikan seperti universiti atau pusat latihan untuk menyediakan program pemantapan kemahiran yang relevan dengan industri. Dalam pada itu, pendekatan mentor-mentee boleh digunakan, di mana pekerja yang lebih mahir membimbing rakan sekerja dalam menguasai kemahiran digital,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Nik Maheran berkata, amat penting juga bagi majikan untuk memilih alat digital yang mesra pengguna agar pekerja tidak berasa terbeban untuk mempelajari teknologi baharu.
“Majikan perlu memantau keperluan kemahiran di tempat kerja secara berkala supaya jurang kemahiran dapat dikenal pasti lebih awal dan tindakan susulan boleh diambil.
“Secara keseluruhannya, pelaburan dalam pembangunan kemahiran digital pekerja bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan penting untuk memastikan syarikat dan ekonomi negara kekal kompetitif di peringkat global,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Mawar Teraju Sdn. Bhd., Izhaar Fazlie Amin Buhari berkata, sebagai majikan kerja masa kini nyata memperlihatkan jurang yang ketara antara keperluan industri dan tawaran dalam pasaran.
Katanya, jurang ini dilihat semakin ketara susulan impak pandemik Covid-19, yang menjadi pemangkin kepada lonjakan penggunaan teknologi digital dalam pelbagai sektor.
“Sebagai contoh, sebelum pandemik Covid-19, penggunaan dompet digital (e-wallet) dan pemindahan bayaran secara atas talian bukanlah amalan arus perdana.
“Namun, akibat sekatan fizikal dan penjarakan sosial, penyedia perkhidmatan termasuk institusi perbankan mula mengambil langkah lebih agresif dalam memperkenalkan dan memperluas penggunaan mod pembayaran tanpa sentuhan.
“Justeru itu, semakin ramai pemain industri dan pengguna mula beralih daripada kaedah pembayaran konvensional kepada pendekatan berasaskan teknologi,” katanya.
Izhaar Fazlie yang menjalankan perniagaan syarikat kurier di Malaysia, termasuk J&T Express dan Best Express berkata, peralihan pantas ini bukan sahaja mengubah landskap transaksi harian, malah turut mencetuskan keperluan mendesak terhadap kemahiran digital dalam kalangan tenaga kerja.
“Tanpa peningkatan kemahiran yang seiring, jurang antara kehendak industri dan kemampuan semasa tenaga kerja akan terus melebar,” katanya kini mempunyai 400 orang pekerja.
Beliau yang menjalankankan perniagaan kurier di Malaysia, termasuk J&T Express dan Best Express berkata, impak revolusi digital semakin ketara apabila institusi pendidikan dilihat belum mampu menjambatani jurang antara kemahiran yang ditawarkan dengan keperluan sebenar industri.
“Hal ini berlaku terutamanya disebabkan oleh tempoh perubahan yang terlalu pantas dan perkembangan teknologi yang berlaku secara eksponen selepas pandemik, khususnya dalam penggunaan digital.
“Keadaan ini menjadi lebih kompleks dengan kemunculan pelbagai bentuk pekerjaan dalam ekonomi gig, yang kini semakin diminati oleh golongan muda. Konsep ‘Fast Cash’ yang sinonim dengan pekerjaan dalam sektor gig seperti penghantaran makanan, e-hailing dan kerja atas permintaan dilihat sebagai peluang kerjaya mudah dan pantas menjana pendapatan,” katanya.-UTUSAN










