MEKAH: “Saya anggap semua jemaah haji ini macam ibu bapa sendiri.”
Demikian kata Pengurus Pusat Panggilan Kecemasan Lebuh Raya (PPKL) Tabung Haji (TH), Mohd. Azir Shahril Ahmad mengenai keazamannya dalam menyantuni dhuyufurrahman dalam setiap operasi haji.
Katanya, tahun ini adalah kali pertama beliau bertugas sebagai pasukan respons kecemasan di lebuh raya dan sebelum ini berpengalaman dalam operasi Masyair di Mekah.
“Macam mana saya jaga jemaah seperti itulah saya jaga ibu bapa sendiri. Ini lagi-lagi tetamu Allah, jadi saya kena jaga sebaik-baiknya sebagai anggota TH saya kena berkhidmat demi kebaikan TH. Ini tanggungjawab saya,” katanya.
Pasukan PPKL terdiri daripada dua petugas dan tiga pembantu akan memberi bantuan segera jika bas-bas jemaah haji dari Madinah ke Mekah rosak, kemalangan dan kecemasan lain termasuk memastikan tiada jemaah tertinggal kenderaan.
Jelas Mohd. Azir Shahril, tugasnya sama ada di PPKL dan Masyair mempunyai cabaran tersendiri.
Namun dalam tugasnya di lebuh raya, beliau perlu memastikan rombongan jemaah itu berada dalam keadaan selamat.
“Kita perlu tahu keberadaan dan lokasi bas di antara Madinah dan Mekah, jadi kita akan kerap berhubung tengok di mana jemaah berada jika berlaku apa-apa kecemasan di lebuh raya.
“Alhamdulillah setakat KT009 ini tiada apa-apa kecemasan luar biasa berlaku. Cuma ada ketibaan yang lewat, itu sahaja,” ujarnya.
Katanya, tugasnya bermula sebaik pergerakan bas jemaah dari Madinah ke Mekah dan dalam Fasa 2 nanti apabila jemaah dari Mekah berangkat ke Madinah.
“Macam hari ini (kelmarin) terdapat dua KT bergerak ke Mekah jadi saya berada di Wadi Starah ini sejak pukul 8 pagi. Tugas selesai selepas keseluruhan bas tiba di Mekah kira-kira pukul 8 malam,” katanya.
Terdahulu, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun meninjau operasi dan menyantuni petugas PPKL yang berpusat di hentian rehat dan rawat As Sahel, Wadi Starah yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Mekah dan Madinah.
Mohd. Hisham berkata, jemaah haji Malaysia dari Madinah atau Mekah akan berhenti di hentian tersebut untuk berehat selama sejam bagi bersolat dan makan.
“TH sentiasa mengambil berat perjalanan jemaah haji di mana PPKL ini akan jadi yang pertama tiba jika bas-bas dinaiki jemaah berlaku kecemasan di lebuh raya,” katanya.
Dalam pada itu, seorang jemaah, Mohamad Hamzah Che Rus, 60, berkata, dia tidak mengetahui wujudnya pasukan PPKL itu, dan kagum dengan operasi TH yang sistematik dan teratur dalam menyantuni dhuyufurrahman.
“Perkhidmatan yang diberikan ini bagus, selesa selain semua berjalan lancar. Informasi semua jelas dalam memastikan kami tiada yang tertinggal,” tambahnya. –UTUSAN











