ARAU: Tidak ada apa yang lebih bermakna bagi cikgu Sanusi Zainal Abidin, 59, yang sudah lebih 37 tahun menyumbang dalam bidang kejurulatihan khususnya melatih anak-anak muridnya dalam sukan olahraga.
Antara yang telah mencipta nama di peringkat dunia adalah Datuk Abdul Latif Romly dan Zaiman Megat Abu dalam acara lompat jauh serta lompat kijang.
Sanusi yang kini Guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ahmad, menabur bakti sebagai jurulatih sejak 1989 dan telah melatih ribuan atlet.
Abdul Latif adalah jaguh lompat jauh negara yang telah melakar pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa termasuk menang dua pingat emas Sukan Paralimpik manakala Zaiman juga mencipta sensasi sama dengan merangkul emas di pelbagai kejohanan termasuk di pentas Sukan Orang Pekak Asia Pasifik.
Sanusi berkata, dia terlibat dalam bidang kejurulatihan sejak mula bergelar pendidik dengan antaranya membabitkan sukan olahraga, bola tampar dan bola baling.
Katanya, minat mendalam dalam bidang sukan mendorongnya menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi dan menukar pengkhususan daripada mengajar subjek Bahasa Melayu ke bidang sukan.
Ujarnya, selain mengajar di SMK Syed Ahmad sejak 2015, dia juga pernah mengajar dan menjadi jurulatih di SMK Syed Alwi dan sekolah sukan, di SMK Syed Hassan sebagai jurulatih sepenuh masa.
“Selain atlet biasa atau normal, saya juga membimbing atlet untuk sukan para dan sukan pekak dan bisu. Saya membimbing mereka dari peringkat sekolah dengan ada antara mereka sudah berjaya di pentas antarabangsa.
“Sepanjang tempoh puluhan tahun ini, memanglah diakui banyak pengorbanan khususnya daripada aspek masa dan wang ringgit. Ia sangat berbaloi apabila anak didik berjaya menggenggam pingat dan ia menjadi satu kepuasan yang menghilangkan segala kepenatan.
“Saya selalunya akan melatih dari pagi sampai ke malam termasuk pada waktu cuti tanpa sebarang elaun selama ini. Pengorbanan dan perit jerih ini terasa sangat berbaloi apabila ada atlet yang datang bersalam, peluk dan mengucapkan terima kasih serta menghargai pengorbanan guru sebagai jurulatih ini.
“Ramai atlet yang berjaya masih ingat cikgu mereka ini termasuk Abdul Latif. Manakala Zaiman saya terus latih sehingga kini menjelang persiapan ke Sukan Deaflympics yang setaraf dengan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo, Jepun hujung tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, antara cabaran sepanjang terlibat dalam bidang kejurulatihan ini adalah seperti mencari atlet yang mempunyai minat serta komitmen selain mendapat sokongan keluarga. – UTUSAN











