Adakah pelajar kita bersedia menghadapi 2030?

Adakah pelajar kita bersedia menghadapi 2030?

SERAMAI 150,557 calon lepasan SPM 2024 ditawar tempat ke IPTA. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seramai 14,179 pelajar (3.7 peratus) yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh keputusan cemerlang (gred A) dalam semua subjek, manakala Purata Nilai Gred Nasional (GPN) mencatatkan rekod terbaik setakat ini.

Pencapaian ini membuktikan kita berjaya melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik.

Namun, di sebalik kegembiraan ini, timbul satu persoalan penting, adakah pelajar kita benar-benar bersedia untuk memasuki dunia pekerjaan menjelang 2030?

Dalam tempoh beberapa tahun, pelajar ini akan melangkah ke alam pekerjaan sebagai graduan, pelatih, usahawan atau pekerja. Kejayaan mereka tidak hanya bergantung pada kelayakan akademik semata-mata, tetapi kemahiran dan keupayaan dalam dunia yang semakin dinamik.

Majikan sejak lama menyuarakan kebimbangan mengenai kesediaan graduan. Tinjauan menunjukkan keputusan akademik semata-mata tidak mencukupi. Ramai graduan baharu dilihat kurang menguasai kemahiran insaniah yang kritikal seperti komunikasi, penyelesaian masalah, daya adaptasi dan inisiatif.

Menurut Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), hampir 70 peratus majikan menganggap kekurangan kemahiran insaniah sebagai cabaran utama dalam pengambilan pekerja. Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) Kementerian Pengajian Tinggi (2022) turut melaporkan lebih satu daripada lima graduan masih menganggur enam bulan selepas tamat pengajian.

Kajian Transisi Dari Sekolah Ke Pekerjaan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mengukuhkan dapatan ini. Kajian mendapati baik golongan muda mahupun majikan menilai kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan etika kerja setanding malah mungkin lebih penting daripada kemahiran teknikal. Justeru sistem pendidikan perlu mengimbangkan penekanan kepada kedua-dua jenis kemahiran ini.

Punca jurang ini bermula dari peringkat awal. Setelah bertahun-tahun melalui sistem persekolahan berorientasikan peperiksaan, di mana hafalan sering diutamakan berbanding kefahaman, pelajar tiba-tiba diharapkan untuk menguasai kecerdasan profesional, teknikal dan emosi dalam tempoh beberapa tahun sahaja di universiti. Lonjakan ini terlalu drastik dan tidak realistik, terutamanya apabila keperluan dunia sebenar terus berubah.

Sistem pendidikan perlu beralih daripada model berpusatkan peperiksaan kepada pembinaan pemikiran kritis, ketahanan emosi, kerja berpasukan dan kemahiran menyelesaikan masalah dunia sebenar merentas semua subjek.

Penilaian sepatutnya menggalakkan aplikasi pengetahuan, bukan sekadar keupayaan mengingat fakta. Pendedahan awal kepada pengalaman dunia sebenar melalui projek komuniti serta kerjasama industri akan membantu pelajar membina etika kerja, inovasi dan akauntabiliti yang diperlukan untuk masa hadapan.

Kemahiran bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan seperti komunikasi, literasi digital, profesionalisme dan penetapan matlamat perlu diperkenalkan di peringkat sekolah menengah, selari dengan pembelajaran akademik.

Pelaksanaannya boleh direalisasikan melalui beberapa pendekatan strategik seperti penubuhan akademi bakat bersama, program pensijilan industri dan projek penyelidikan aplikasi praktikal.-UTUSAN

DR. BIBI INTAN SURAYA MURAT
Ketua Unit Kebolehpasaran Graduan, ICAN
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×