Bekas tahanan Guantanamo disekat ke luar negara 5 tahun

Bekas tahanan Guantanamo disekat ke luar negara 5 tahun

NAZIR Lep dan Farik Amin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua suspek pengganas warga Malaysia yang dibawa pulang ke negara ini selepas ditahan di Teluk Guanta­namo di Cuba pada 2006 dikenakan larangan perjalanan selama lima tahun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan yang diambil itu merupakan sebahagian daripada persetujuan dengan kerajaan supaya mereka kekal dalam negara ini selama lima tahun, termasuk tidak boleh melaksanakan umrah dan haji.

“Tiada sekatan untuk perjalanan dalam negara, namun mereka dinasihatkan untuk memaklumkan kepada polis yang memantau berkenaan lokasi mereka bagi tujuan keselamatan.

“Larangan itu terpakai kepada Nazir Lep dan Farik Amin bagi perjalanan ke luar negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu sedang memberi tumpuan pada usaha membina semula kehidupan dengan keluarga terdekat.

“Nazir menanam cili dan menternak ayam dan kambing sebagai sebahagian projek yang dimulakan ahli keluarganya.

“Malah Farik menjaga ibu bapanya yang sudah tua,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Na­sution Ismail dalam kenya­taan memaklumkan kerajaan sudah merangka program pemulihan komprehensif untuk kedua-dua individu terbabit, merangkumi perkhidmatan so­kongan sosial, bantuan kebajikan serta saringan kesihatan.

Nazir, Farik dan Hambali ditahan di Thailand pada 2003 dan kemudiannya dibawa ke lokasi tahanan rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebelum dipindahkan ke pusat tahanan Guantanamo Bay pada 2006. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×