Jangan tuntut keterlaluan – Anwar

Jangan tuntut keterlaluan – Anwar

ANWAR Ibrahim (tengah) melakukan gimik pelancaran pada Majlis Perasmian CRM Trial Connect 2025 di Kuala Lumpur semalam. Turut kelihatan Dzulkefly Ahmad (dua kiri). – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu memahami kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk negara.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, setiap kementerian dan jabatan misalnya mahukan peruntukan yang lebih namun mereka juga perlu mengambil kira kemampuan kerajaan.

Sebab itulah katanya, bagi Kementerian Kesihatan beliau sering memaklumkan kepada menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad agar kakitangannya memahami dasar ekonomi makro yang dilaksanakan kerajaan dengan mengambil kira kepentingan semua aspek.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Beritahu pada kakitangan supaya bukan hanya tahu me­ngenai penyakit tetapi juga memahami ‘penyakit ekonomi’, dasar ekonomi makro.

“Setiap kementerian, jaba­tan dan pusat penyelidikan tentunya­ mahukan lebih peruntukan, tetapi kita perlu lihat sekolah, infrastruktur luar bandar, klinik dan hospital. Cabaran ini mesti ditangani dengan adil dan saksama selepas memahami kekangan yang ada,” katanya sewaktu merasmikan majlis Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) Trial Connect 2025 di sini, semalam.

Selain Dzulkefly, turut ha­dir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian dan Ketua Pegawai Eksekutif CRM, Dr. Akhmal Yusof.

Perdana Menteri berkata, kerajaan boleh mengagihkan lebih banyak peruntukan, namun ia akan membabitkan peningkatan cukai yang akhir­nya bukan saja membebankan rakyat, tetapi juga golongan doktor.

“Setiap kawasan dan bandar pasti mempunyai permintaan tersendiri dalam aspek kesihatan, namun kerajaan tidak mampu memenuhi semuanya tanpa kefahaman mendalam terhadap keutamaan serta kekangan sumber.

“Meskipun negara giat mem­perluas usaha dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, tekanan akibat permintaan yang meningkat turut dirasai rakyat serta golongan profesional khususnya dalam kalangan doktor.

“Doktor adalah kumpulan profesional yang sangat sensitif. Ini yang saya tahu daripada pengalaman Datuk Seri Dr. Wan Azizah. Sebab itulah pentingnya untuk memahami polisi ekonomi mikro dan kelemahannya pasti ada,” katanya.

Dalam pada itu Anwar berkata, CRM perlu menerokai kerjasama lebih luas bagi menghasilkan penemuan baharu di samping mampu me­ngurangkan kos perubatan.

Katanya, penyelidikan klinikal perlu dipertingkat dengan kerjasama serantau, khusus­nya dengan negara-negara ASEAN serta diperluaskan dalam mendepani cabaran era digital serta kecerdasan buatan (AI).

“Industri perubatan boleh mendatangkan beban sekiranya hanya bergantung pada syarikat pengeluar besar yang me­ngaut keuntungan terlalu tinggi, bukan saja terhadap kerajaan tetapi juga kepada pesakit.

“Malah langkah tersebut­ penting memandangkan ke­tidaktentuan dalam peng­umuman tarif oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump,” katanya.

Jadi katanya, negara ada pilihan sama ada untuk me­nunggu atau bertindak segera.

“Ini bermakna kita perlu me­laksanakan penyelidikan ber­sama bagi memastikan kita dapat mempengaruhi perubahan dan mengimplementasikan re­formasi secepat mungkin.

“Kita perlu meningkatkan penyelidikan klinikal dan kerjasama dengan ASEAN kerana ia amat penting dan memberi impak besar,” katanya.

Anwar turut memaklumkan, sejak 2012, sektor klinikal menyumbang lebih RM1.5 bi­lion kepada pendapatan negara dengan lebih 3,000 pekerja berkemahiran tinggi terlibat dalam sektor tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×