Dunia seru India-Pakistan redakan ketegangan

Dunia seru India-Pakistan redakan ketegangan

ANGGOTA keselamatan India berkawal di Wuyan berhampiran bandar utama Kashmir yang ditadbir India di Srinagar selepas Operasi Sindoor.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak beberapa hari lalu giat ‘memujuk’ India dan Pakistan agar kedua-dua pihak segera berundur dari ambang peperangan, selain berusaha meredakan ketegangan yang semakin memuncak.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres turut menyeru agar kedua-dua pihak bertenang dan mengawal ketegangan yang tercetus bagi mengelak lebih banyak pertumpahan darah.

“Dunia tidak mampu menghadapi konfrontasi ketenteraan antara India dan Pakistan,” kata jurucakap Guterres, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Ketika ditanya mengenai serangan tersebut, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberitahu wartawan di Washington, menyifatkan operasi ketenteraan India terhadap Pakistan sebagai sesuatu yang memalukan dan berharap pertempuran akan segera berakhir.

Kedutaan India di Washington memaklumkan, Penasihat Keselamatan Negara India, Ajit Doval, sudah memberi taklimat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio selepas serangan itu.

Menurut seorang pegawai kanan tentera Pakistan, Rubio turut mengadakan perbincangan dengan Penasihat Keselamatan Negara Pakistan, Leftenan Jeneral Asim Malik.

“Saya sedang memantau rapat situasi antara India dan Pakistan. Kami akan terus berhubung dengan kepimpinan kedua-dua negara ke arah penyelesaian damai,” kata Rubio di platform X.

Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyeru India dan Pakistan supaya menunjukkan sikap berhemah, meredakan ketegangan dan mengelakkan sebarang tindakan lanjut yang boleh mengancam keamanan serantau dan antarabangsa.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshimasa Hayashi berkata, Tokyo turut bimbang insiden ini boleh mengheret kedua-dua negara kepada konflik ketenteraan berskala penuh yang baharu dan menggesa agar menunjukkan sikap berhemah serta menstabilkan keadaan melalui dialog.

Jiran antara dua negara bertelagah itu, China melahirkan rasa kesal terhadap tindakan ketenteraan India ke atas Pakistan dan menyatakan kebimbangan terhadap perkembangan semasa.

“India dan Pakistan adalah jiran yang tidak boleh dipisahkan dan kedua-duanya juga jiran kepada China.

“Justeru, kami menyeru kedua-dua negara untuk mengutamakan keamanan dan kestabilan, kekal tenang dan berhemah serta mengelakkan tindakan yang boleh merumitkan lagi keadaan,” kata jurucakap Kementerian Luar China.

China kini sedang berusaha memperbaiki hubungan dengan India sebagai sebahagian daripada strategi diplomatik untuk mengimbangi tekanan dari pentadbiran Trump.

Dalam masa yang sama, Pakistan merupakan antara sekutu paling rapat China dan penyokong utama kepada inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Kementerian Luar Russia pula menyatakan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan konfrontasi ketenteraan antara India dan Pakistan dan menyeru kedua-dua negara agar lebih rasional.

“Kami amat bimbang dengan peningkatan konfrontasi ketenteraan ini dan menyeru kedua-dua pihak agar lebih berhemah bagi mengelakkan keadaan daripada terus meruncing.

“Kami berharap ketegangan dapat diselesaikan melalui cara damai dan diplomatik,” katanya.

Sementara itu, Perancis menggesa agar keselamatan dan nyawa orang awam dilindungi ketika ketegangan semakin memuncak.

“Kami faham keinginan India untuk melindungi negaranya daripada ancaman pengganas, tetapi kami tetap menyeru kedua-dua pihak agar menunjukkan sikap berhemah, mengelakkan peningkatan ketegangan dan yang paling penting, melindungi orang awam,” kata Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot dalam wawancara di saluran TF1.

United Kingdom (UK) menawarkan untuk menjadi ‘orang tengah’ untuk membantu meredakan konflik.

“Kami adalah rakan dan rakan kongsi kepada kedua-dua negara. Kami bersedia menyokong kedua-duanya. Kedua-dua negara berkepentingan besar dalam kestabilan serantau, dialog dan usaha meredakan ketegangan dan kami bersedia membantu dalam hal ini,” kata Setiausaha Perdagangan UK, Jonathan Reynolds kepada BBC Radio.

PELANGGARAN UNDANG-UNDANG

Jawatankuasa Keselamatan Negara (NSC) Pakistan yang bermesyuarat secara tergempar di ibu negara Islamabad semalam, menggesa masyarakat antarabangsa supaya bertindak tegas terhadap India.

Ini susulan serangan India menerusi ‘Operasi Sindoor’ pada awal Rabu, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 38 nyawa termasuk 26 orang awam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri Pakistan, NSC menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengiktiraf tindakan serius India yang didakwa tidak berasas dan melanggar undang-undang.

Jawatankuasa itu turut mendesak New Delhi bertanggungjawab di atas pelanggaran secara terang-terangan terhadap norma dan undang-undang antarabangsa.

Ketegangan antara dua negara bersenjata nuklear itu terus memuncak selepas New Delhi melancarkan serangan udara yang mengorbankan puluhan nyawa di wilayah Pakistan.

Islamabad turut mengumumkan tindakan balas, mencetuskan peningkatan besar dalam konflik antara kedua-dua negara jiran Asia Selatan itu.

India menuduh Pakistan sebagai dalang di sebalik serangan paling berdarah terhadap orang awam di Kashmir yang ditadbir India sejak beberapa tahun, yang menyebabkan 26 orang terbunuh pada 22 April lalu.

Pakistan menafikan tuduhan tersebut, namun kedua-dua negara mula melancarkan beberapa siri tembakan di sempadan Kashmir, mengusir rakyat masing-masing serta menutup sempadan secara rasmi.

Sejak insiden 22 April, tentera kedua-dua negara dilaporkan terus berbalas tembakan merentasi Garisan Kawalan (LoC), sempadan de facto di wilayah Kashmir yang penuh pertikaian dan diperkukuh ketat dengan pos-pos tentera di kawasan pergunungan Himalaya.

Namun serangan pada Rabu disifatkan paling berbahaya dalam ketegangan antara dua negara yang sudah beberapa kali berperang sejak merdeka daripada penjajahan Britain pada tahun 1947.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×