Bursa Malaysia kekal positif, sentimen pasaran masih lemah

Bursa Malaysia kekal positif, sentimen pasaran masih lemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia kekal positif apabila indeks utama berada sekitar paras 1,540 mata, paras yang dilihat sesuai dalam keadaan pasaran semasa.

Namun begitu, sentimen keseluruhan pasaran masih lemah, dipengaruhi oleh kebimbangan terhadap kejutan tarif yang diumumkan baru-baru ini. 

Pada penutup dagangan semalam, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 13.10 mata kepada 1,549.90 pada pukul 5 petang, berbanding 1,536.80 pada penutup Selasa. 

Jumlah dagangan sebanyak 2.84 bilion unit bernilai RM2.43 bilion. 

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 595 berbanding 381 dengan 478 kaunter tidak berubah dan 889 tidak diniagakan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, peningkatan tarif dijangka akan menambah kos operasi perniagaan dan mengganggu kelancaran rantaian bekalan, sekali gus memberi tekanan kepada sektor-sektor tertentu dalam pasaran tempatan.

“Saya menjangkakan pelabur akan terus berhati-hati dalam membuat keputusan, sambil menunggu perkembangan lanjut dasar perdagangan global serta reaksi pasaran serantau.

“Amerika Syarikat (AS) dan China dilihat akan mula berunding berkenaan hal tarif pada minggu ini di Switzerland. 

“Justeru, terdapat jangkaan bahawa terdapat suatu kompromi mungkin dapat dicapai antara kedua-dua negara memandangkan perang tarif di antara dua negara ini bakal memberi impak negatif kepada ekonomi global,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia

Mohd. Afzanizam berkata, selain daripada kesan eksport, pelaburan swasta juga dijangka terjejas kerana firma perniagaan akan cenderung untuk menangguhkan rancangan untuk menaik taraf kapasiti pengeluaran disebabkan kenaikan risiko permintaan global yang lembap mungkin berlaku pada tahun ini. 

“Pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga telah mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi global daripada 3.3 peratus kepada 2.8 peratus bagi 2025,” katanya.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, Bursa Malaysia masih dalam keadaan mendatar dan dijangka akan lebih jatuh susulan India dan Pakistan sudah mula berperang.

“ Indeks FBMKLCI masih dalam jajaran 1,535 tapi jumlah dagangan masih lagi rendah dan dijangkakan sehingga pertengahan bulan Mei,” katanya. 

Jelas Mohd. Rizal, selagi tiada petunjuk baharu yang signifikan, dikhuatiri pasaran masih lemah dan berskala kecil.

“Ramai pelabur juga akan membuat keuntungan jangka pendek kerana mereka bimbang dengan arah tuju ekonomi serantau,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×