PETALING JAYA: Persoalan tentang nasib tiga pasukan yang dijangka terkubur hanya akan diketahui status mereka pada 10 Mei ini selepas setakat ini hanya Perak FC telah menyatakan hasrat untuk tidak bertanding musim depan.
Sementara, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kelantan Darul Naim (KDN) FC dan Sri Pahang difahamkan masih berjuang untuk menyelamatkan pasukan mereka daripada ‘gulung tikar’.
Ketiga-tiga pasukan itu berdepan masalah kewangan yang kronik apabila gagal melunaskan gaji para pemain dan pengurusan hingga berbulan-bulan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025.
Jawatankuasa First Instance Body (FIB) dalam satu kenyataan mengumumkan lanjutan masa bagi kelab melengkapkan dokumentasi pelesenan kelab yang pada asalnya akan berakhir, semalam.
Perkara itu memberi talian hayat terakhir kepada pasukan terutama yang berdepan isu tunggakan gaji untuk mendapatkan lesen kebangsaan dan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.
Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif memaklumkan tempoh itu dilanjutkan hingga 10 Mei ini dan ia bermakna pasukan mendapat talian hayat 10 hari lagi untuk melengkapkan dokumen.
Perkembangan itu dimaklumkan Sheikh Mohd Nasir dalam kenyataan, hari ini, sambil menjelaskan keputusan berkenaan dibuat selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerima permohonan daripada beberapa kelab.
“Jawatankuasa FIB bersetuju memberikan lanjutan masa untuk kelab melengkapkan semua dokumen bagi Pelesenan Kelab Kitaran 2024-2025 bagi Lesen Kebangsaan di dalam sistem pelesenan AFC CLAS.
“Pihak FIB bersetuju untuk menetapkan 10 Mei 2025 sebagai tarikh akhir bagi kesemua kelab Liga Super melengkapkan dokumentasi pelesenan yang masih belum lengkap.
“Pihak FIB berharap dengan lanjutan masa diberikan ini dapat menyelesaikan segala dokumentasi yang berkenaan pada tarikh yang sudah ditetapkan,” katanya.
Keputusan pelesenan kelab menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak tanah air terutama untuk melihat berapa jumlah pasukan yang akan bersaing dalam Liga Super musim depan selepas beberapa kelab berdepan masalah kewangan dan isu tunggakan gaji.
Juara Piala Malaysia lapan kali, Perak FC yang berdepan isu kewangan sudah mengesahkan akan menarik diri dari Liga Super musim depan selain status penyertaan naib juara Piala Malaysia musim ini, Sri Pahang juga masih menjadi tanda tanya.
Selain itu, nasib beberapa pasukan yang berdepan isu tunggakan gaji seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC bergantung kepada keputusan pelesenan kelab yang akan diumumkan FIB. – UTUSAN










