PETALING JAYA: Penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi meluahkan rasa syukur selepas menjadi wira Harimau Selatan dengan meledak jaringan kemenangan dalam aksi final Piala Malaysia menentang Sri Pahang di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Dalam perlawanan penuh dramatik itu, JDT yang ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama, bangkit penuh bersemangat melalui jaringan penyamaan Bergson Da Silva sebelum jaringan emas Arif Aiman memastikan kemenangan 2-1 milik mereka.
“Kami satu pasukan. Walaupun ketinggalan 1-0, kami tetap bermain bersungguh-sungguh. Kami percaya pemenang akan datang dan bukan saya sahaja, semua rakan sepasukan bekerja keras untuk memastikan kami dapatkan gol kemenangan,” katanya yang juga dinobatkan pemain terbaik perlawanan pada aksi akhir itu.
Dia berkata, kemenangan itu adalah hasil kerja berpasukan yang tidak pernah menyerah, walaupun berdepan tekanan sepanjang permainan.
“Saya sudah tanam dalam diri saya bahawa tiada istilah puas hati dalam karier ini. Sebagai pemain bola sepak, perjalanan ini sekejap sahaja.
“Saya tidak tahu sampai bila saya dapat bermain, jadi pada usia sekarang, saya hanya mahu bekerja keras dan fokus sepenuhnya kepada kerjaya,” katanya.
Pemain berusia 22 tahun itu turut berkata, dia mahu terus meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa dan tidak sesekali mengalah walaupun berdepan kegagalan.
“Kalau saya cuba 10 kali dan gagal, saya akan cuba untuk kali ke-11. Saya tidak akan berhenti,” tegasnya.
Mengulas tentang masa depannya bersama JDT, Arif Aiman optimis bahawa kelab itu akan terus berkembang sebagai sebuah kuasa besar bola sepak tanah air.
“JDT adalah kelab besar dan saya yakin kelab ini akan terus maju. Saya sentiasa bersedia untuk membantu dan saya sangat gembira menjadi sebahagian daripada keluarga JDT,” katanya. – UTUSAN










