MADINAH: Saat memasuki ruang solat Masjid Quba, di sini beberapa jemaah meninjau-ninjau sebelah kanan kubah utama berhampiran mimbar, sebelum mengangkat takbir dan bersolat sunat dua rakaat.
Ini adalah pemandangan biasa apabila orang ramai mengunjungi masjid pertama dibina oleh Nabi Muhammad SAW.
“Di kubah utama Masjid Quba terdapat satu lubang kecil di atasnya. Jika tidak diperhatikan betul-betul ramai yang terlepas atau tidak kelihatan.
“Betul-betul di bawah lubang tersebut terdapat dua pandangan iaitu penanda Rasulullah SAW menambat untanya dan bersolat sunat di sebelah haiwan tunggangan itu.
“Satu lagi pandangan betul-betul di bawah lubang itu adalah tempat baginda bersolat sunat,” ujar Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci, Kamarudin Abd. Hamid.

Diriwayatkan katanya, Rasulullah SAW yang menunggang unta singgah di Quba sebelum masuk ke Madinah dalam peristiwa hijrah.
Jelas beliau, sehubungan itu, ramai jemaah yang hadir ke Masjid Quba akan memilih untuk bersolat sunat betul-betul di bawah lubang berkenaan.
Mengikut sejarah Masjid Quba didirikan pada hari Isnin bersamaan 8 Rabiulawal 1 Hijriah di atas sebidang tanah milik keluarga Kulthum bin Al-Hedm dari Kabilah Amru bin Auf.
Turut diriwayatkan, Rasulullah SAW sendiri ketika berada di Madinah berkunjung ke masjid tersebut hampir setiap hari Sabtu untuk menunaikan solat sunat.
Kamarudin berkata, Rasulullah SAW bersabda, barang siapa bersuci di rumahnya kemudian mendatangi Masjid Quba dan solat di dalamnya, maka ia akan mendapatkan pahala umrah.
“Pastikan bila mana kita ke Masjid Quba, dari penginapan kita perlu berwuduk, barang siapa yang bersuci zahir (bersih tubuh badan) dan batin (mengambil wuduk) maka kelebihan, ganjarannya seolah-olah mengerjakan umrah.
“Di Madinah ini tiada ibadah umrah tetapi kita dapat kelebihan seperti mengerjakan umrah. Maka oleh sebab itu nanti adab kita mahu masuk Masjid Quba dengan kaki kanan serta doa masuk masjid dan kita bersolat sunat,” ujar beliau.
Semalam, petugas media Tabung Haji (TH) dibawa melawat ke Masjid Quba sebagai salah satu program ziarah luar di Madinah.
Sinonim dengan ziarah ke Masjid Quba secara tidak langsung petugas media TH akan menziarahi Telaga Bi’rul Khatam atau lebih dikenali sebagai Telaga Cincin yang terletak di pekarangan masjid berkenaan.
Kelmarin Naib Konsul Haji merangkap Pengarah Operasi Madinah, Affandi Abdullah berkata, jemaah-jemaah haji Fasa 1 sepanjang berada di Madinah akan dibawa untuk program ziarah dalam dan luar, selain diberi kelas serta taklimat sebelum bergerak ke Mekah. – UTUSAN









