Pendekatan kreatif semarakkan dakwah

Pendekatan kreatif semarakkan dakwah

USTAZ MOHD. NASRULLAH CHE HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERDAKWAH adalah usaha murni menyeru kepada kebaikan dan memperbaiki keadaan ummah dalam konteks hubungan sesama manusia dalam mengejar kesempurnaan hidup duniawi dan ukhrawi.

Firman Allah SWT: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali Imran, ayat 104).

Berkongsi pandangan, Pendakwah bebas, Ustaz Mohd. Nasrullah Che Halim berkata, pendekatan dalam menyampaikan dakwah perlu sentiasa ditambah baik dan disesuaikan dengan perubahan zaman.

Menurutnya, kreativiti dalam dakwah bukan sahaja satu keperluan, bahkan menjadi kunci kepada keberkesanan penyampaian mesej Islam dalam masyarakat moden.

Hari ini, pelbagai media sosial bukan sekadar platform hiburan, tetapi juga boleh dijadikan medan dakwah yang strategik.

“Kandungan pendek seperti kapsul dakwah, tazkirah digital, poster infografik dan video pendek mampu menarik minat khalayak, khususnya golongan muda yang lebih cenderung kepada pendekatan santai dan visual yang menarik,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.

Mohd. Nasrullah memberitahu, dia sendiri menggabungkan minat dan kemahiran dalam bidang lukisan kartun sebagai pendekatan mendekati kanak-kanak untuk menggalakkan mereka mempelajari dan menghafal al-Quran.

“Pendekatan ini saya gelar sebagai ‘Dakwah Kartun’. Lukisan yang saya hasilkan bukan sekadar hiburan tetapi mengandungi maksud dan intipati ayat suci al-Quran yang ingin disampaikan secara lebih menyeronokkan dan mudah difahami,” katanya yang turut popular dengan panggilan ‘ustaz kartun’.

Menurutnya, kanak-kanak adalah golongan yang aktif dan cepat hilang tumpuan jika diajar secara konvensional.

 

USTAZ MOHD. NASRULLAH CHE HALIM
Usia: 42 tahun
Asal: Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah.

Pendidikan:
Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Tafsir & Ulum Quran),
Universiti Al-Azhar, Mesir. (2011)

Diploma Pendidikan Islam, Institut Perguruan (IPG)
Kampus Perlis. (2014)

Kerjaya / Pengalaman:
Berpengalaman lebih 10 tahun terlibat sebagai
pelukis komik dalam beberapa buah majalah tempatan
sejak tahun 2010.
Hasil karya beliau meliputi isu-isu pendidikan, kekeluargaan, remaja, masyarakat dan
agama.
Pernah mengacarakan rancangan Ustaz kartun &
Robojim di rangkaian TV Alhijrah (2021) & panel jemputan rancangan program keagamaan di Radio Kedah FM
(2022- 2023)
Tenaga pengajar dan pembimbing mualaf di Kedah

 

Justeru, katanya, kaedah penyampaian yang menyeronokkan melalui visual kartun mampu membantu mereka mengingati ayat-ayat suci serta memahami maksud tersurat dan tersirat dengan lebih baik.
“Lukisan yang dihasilkan tidak semestinya indah, asalkan mesej yang terkandung dapat difahami dan dihayati.

“Dalam konteks yang lebih luas, dakwah juga boleh digerakkan melalui program lapangan seperti dakwah jalanan dan aktiviti masyarakat di luar masjid,” ujarnya.

Mohd. Nasrullah berkata, pendakwah perlu keluar mendekati mereka yang jauh dari institusi agama disamping masjid dan surau pula harus terus menjadi pusat penyatuan ummah, bukan tempat memperbesar jurang perbezaan.

Firman Allah SWT: “Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya…” (Surah al-Taubah, ayat 108).

Kesimpulannya, kata Mohd. Nasrullah dakwah itu fleksibel namun matlamatnya tetap satu – menyampaikan ajaran Islam secara hikmah.

“Gunakanlah segala medium, kemahiran dan pendekatan yang bermanfaat serta kreatif untuk meninggikan syiar Islam. Jangan sempitkan dakwah kepada mimbar semata-mata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×