PETALING JAYA: Bekas pemain kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan yakin Sri Pahang mampu melakar kejutan walaupun Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi pasukan pilihan menjuarai Piala Malaysia pada musim ini.
Sri Pahang mara ke final selepas menang agregat 3-2 ke atas Sabah FC manakala JDT mengesahkan tiket mereka setelah menewaskan Terengganu FC agregat 6-1 dan kedua-dua pasukan itu bakal beraksi di pentas akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Zainal merupakan jurulatih terakhir membantu Sri Pahang menjuarai kejohanan tersebut 11 tahun lalu dan selepas itu skuad Tok Gajah tidak pernah mara ke final Piala Malaysia.
Bekas jurulatih Pahang itu mengakui di atas kertas JDT dilihat sebagai pasukan gergasi bagaimanapun Zainal berkata juara hanya boleh ditentukan pada perlawanan akhir tersebut.
“Final merupakan perlawanan yang berbeza sebab pemain akan mencurahkan segala-galanya kerana mereka mahu mengejar kejayaan dan ganjaran kemenangan.
“Hanya 90 minit permainan atau 120 minit (masa tambahan) yang menentukan siapa juara pada hari tersebut dan bukannya sejarah atau pun kekuatan pasukan,” katanya.
Zainal juga merupakan bekas pemain Pahang turut berkata suasana pada hari final nanti mampu menjadikan pemain lebih bersemangat tanpa mempedulikan lawan yang mereka perlu hadapi.
“Ini dapat dibuktikan semasa KL (Kuala Lumpur) City FC menewaskan JDT 2-0 di final Piala Malaysia pada 2021. Final mempunyai aura yang kuat dan pemain akan fikir selepas ini mereka mungkin tidak akan mendapat peluang yang sama jadi pasti mereka berusaha bersungguh-sungguh,” katanya.
Kali terakhir Pahang menjuarai Piala Malaysia pada 2014 apabila menewaskan JDT 5-3 menerusi penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2. – UTUSAN











