Darah dalam bilik milik Zayn Rayyan

Darah dalam bilik milik Zayn Rayyan

ZAYN RAYYAN
ZAYN RAYYAN ABDUL MATIIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pegawai Penyiasat semalam mengesahkan kesan darah dalam bilik yang ditemui adalah milik kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Asisten Superintendan Polis (ASP) Mohd. Hafizee Ismail berkata, perkara itu diketahui selepas darah yang dikesan berpadanan dengan hasil analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada tulang sternum kanak-kanak itu.

Beliau mengesahkan perkara tersebut ketika sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.

Dalam prosiding semalam, saksi pendakwaan ke-28 itu mendedahkan bahawa terdapat kesan darah pada bilik tidur dan tandas hasil proses mendapatkan tindak balas kesan darah (luminol) di rumah Zayn Rayyan.

Susulan itu, pihaknya telah merakam percakapan bersama Ismanira yang menyatakan Zayn Rayyan akan mencalit kesan hi­ngus atau hidung berdarah pada kawasan dinding di dalam bilik ataupun di dalam rumah.

Dalam pada itu, menjawab kepada persoalan tentang perbezaan nama bapa kanak-kanak itu, Mohd. Hafizee berkata, ia disebabkan kelewatan mendaftar perkahwinan.

Raja Zaizul Faridah: (Merujuk pada dokumen) Sijil kelahiran, kad Orang Kurang Upaya (OKU), MyKid, lihat pada ketiga dokumen, boleh beritahu nama si mati?

Mohd. Hafizee: Zayn Rayyan Bin Abdul Matiin.

Raja Zaizul Faridah: Sama pada ketiga tiga dokumen

Mohd. Hafizee: Sama.

Raja Zaizul Faridah: Sekarang saya rujuk pada sijil kelahiran, ASP lihat pada bahagian bapa. Boleh beritahu mahkamah nama bapa?

Mohd. Hafizee: Bapa, Zaim Ikhwan Bin Zahari.

Raja Zaizul Faridah: Ada ASP jalankan siasatan mengapakah nama bapa si mati di dokumen adalah berbeza?

Mohd Hafizee: Ada.

Raja Zaizul Faridah: Boleh ASP beritahu mahkamah apakah hasil siasatan yang dibuat?

Mohd. Hafizee: Boleh. Hasil siasatan saya mendapati kedua tertuduh berkahwin di Narathiwat, Thailand sekitar Jun 2016 dan telah lewat daftar perkahwinan di Malaysia. Oleh yang demikian si mati (Zayn Rayyan) berbinkan atas 99 nama Allah.

Perbicaraan di hadapan Ha­kim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi hari ini.

Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berusia 30 tahun yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023 pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.

Pertuduhan masih kekal mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×