Kipas berdaun tiga itu berpusing dengan setia sejak selepas subuh tadi lagi. Daunnya yang sudah disaluti debu nipis dan nampak sedikit kusam, sekal igus memaknakan ia sudah tidak berapa bersih dan suci lagi.
Cat putihnya sudah nampak sedikit kelabu. Beberapa keping sampul surat di atas meja yang separuh besar itu betul betul berada di bawah perut kipas separuh usia itu. Ada yang masih bersampul elok dan ada sekeping surat yang telah tercerai dari sampulnya.
Surat itu nampak bergerak-gerak dan sesekali mengikis muka meja usang itu, bila digaru angin dari daun kipas.
Geseran halus dan lembut itu sesekali berkeriuk sentimental. Namun ia tidak segemersik bunyi daun ketapang kering yang diseret angin ditepi jalan tar menghala masuk ke rumah ini.
Surat yang tanpa sampul itu adalah surat urusan Seri Paduka Baginda. Bukan surat gadai atau surat mesyuarat khairat kematian. Ini surat penting dan surat yang boleh menentukan masa depan.
Surat ini tidak boleh dianggap selekeh mahu pun dianggap mainan. Kena ambil peduli bila menerimanya. Apa lagi bila telah membaca dan memahami maksudnya. Kena akur akan isi dan maksudnya, dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Jika tidak diambil perhatian serius, bersedialah nanti menanggung akibatnya.
Selepas aku menerima surat ini beberapa hari lepas, hati aku jadi hancur bagai kaca terhempas ke batu. Di luar sangkaan sungguh dan terkejut besar dengan kehadiran nya.
Perasaan berani dan takut mula bercampur gaul dalam jiwa aku. Macam nasi kerabu. Ada tumis, ada budu,daun kayu, tauge, ikan celup tepung dan bermacam lagi. Dua emosi yang membawa haluan tersendiri. Berterabur sekali rasanya. Aku menjadi bingung dan patah ikhtiar untuk memulakan pelan tindakan selanjutnya.
Surat itu berterus terang bahasanya. Mudah dibaca dan tidak payah untuk dimengerti. Ia mengajak dan memberitahu dengan bahasa dan aturan ayat yang langsung tidak berbelit. Sangat polite kata ahli dewan rakyat, dengan izin.
Surat ini membawa khabar yang sangat aku perit gerun selama ini. Jujai aku berdoa pada Allah agar surat seperti ini tidak sampai kepada aku. Jika boleh aku mahu terus berada di tempat ini lebih lama sedikit lagi. Rupanya, prognosis aku silap dan meleset sekali. Surat yang aku bimbangi kini tiba keribaan ku.
Dalamnya terkandung arahan jelas dari ketua jabatanku di Putrajaya, mengarahkan aku bertukar ke tempat baru. Tempat yang tidak pernah aku impikan untuk sampai ke sana selama ini. Jauhnya beratus batu dari rumah aku. Nun, di utara Tanah Melayu.
Aku menjadi lemas pandangan dan perasaan bagai berada di tengah arungan. Berenang ke arah yang entah di mana tubirnya. Mengapa surat ini untuk aku,aku pun tidak tahu.Mungkin aku sudah terlalu lama dan hampir berkulat di sini? Atau adanya konspirasi yang tersembunyi?
Hati aku menjadi masak dan ranum dengan berbagai keputusan. Hendak ikut atau melawan arahan ini. Jika ikut dan patuh, selesai masalah. Jika melawan dan ingkar, mungkin banyak menimbul masalah. Aku berada di persimpangan keputusan.
Kepala cukup berserabut seminggu dua ini. Sebelum ini aku cukup bersemangat bekerja dengan positif dan aktif, tapi bila surat ini diterima, aku seperti ikan kena tuba. Hanya berkelip mata, perasaan seakan koma dan hilang upaya untuk membuat keputusan.
Beberapa hari lalu, aku membelek dan melihat kembali surat itu. Merenung dan mengeja banyak kali nama orang yang menandatanganinya. Aku kenal sangat orangnya.
Rupa paras, hitam putih kulitnya, dan panjang pendek kaki nya. Masih tergambar sempurna dan lengkap dalam ingatan.
Aku pernah beberapa kali tidak bersetuju dan bertentangan pendapat dengannya.Tapi berlaku sekadar angin lalu. Ia terhenti dengan sendiri dan menjadi cerita seperti timun dan durian. Digolek dan tergolek, tetap menerima nasib yang sama.
Hari ini surat yang ada ditanganku, ternampak jelas tandatangannya.
Terbayang dalam imaginasi aku, bagaimana jika aku pergi ke tempat yang baru kelak. Mampukah aku menjalankan tugas dengan tenang? Persoalan ini bersilangkata di benak ku. Perasaan aku bertambah nuragan.
Emansipasi ku bagai tersekat dan terkurung kaku untuk bertindak.
Sebenarnya surat ini banyak menyuluh makna yang mendalam demi masa depan aku. Kita kena berkorban untuk menjadi seorang yang kuat, dan sanggup berdepan dengan cabaran. Andainya surat ini sudah menjadi halangan, bagaimana untuk berjuang di masa akan datang?
Bayangan aku jauh terbang melayang bila di tempat baru nanti. Akan berlaku perpisahan yang sangat menjarak hati.
Mungkin aku akan jarang dapat berjumpa dengan sanak saudara selepas ini. Terbayang tempat baharu yang dikhabarkan jauh terpencil dan di pekan yang agak sunyi.
Segala kebarangkalian bersarang dan berkurung dalam jiwa. Aku hampir gagal menggalas taakul untuk diri sendiri.
Hampir seminggu aku jadi kurang berselera untuk makan. Pandangan masa depan aku redam dan tersumbat. Aku sebenarnya,sedang sarat menanggung rasa dukacita.
Pagi Sabtu yang cerah itu diganggu seketika, dengan deru injin pacuan empat roda sahabat karib aku, Abang Mat yang memberek perlahan di bawah pohon kuini yang tengah gelenyar berbunga dalam pagar rumah ku. Lebat sungguh bunganya.
Abang Mat turun dari keretanya terus mendongak melihat tangkai bunga kuini yang lebat dan cantik itu. Kedengaran mulutnya meremeh sesuatu dengan bunga kuini itu .
“Boleh dah kita nak beransur pergi.Takut sikit lagi, tinggi lagi naik matahari,” ujar Abang Mat sambil mengorek giginya dengan sebatang lidi.
Aku tersentak sekali gus hati terasa lampas kembali. Aku masih lagi dalam mangut yang panjang.
“Kena pergilah walau apa jadi sekalipun. Sayang peluang ini kalau tidak pergi. Bukannya jauh sangat pun tempat itu,” Abang Mat menghurai perasaan dan pandangannya.
Lemah terasa siku dan tulangku untuk bergerak ke tempat baru hari ini.Aku melihat Abang Mat mengangkat beg besar aku masuk ke keretanya. Dia bersiul kecil dan nampak ceria. Pada dia lah tempat aku mencurah rintihan, belas dan sayu di sepanjang perjalanan nanti.
Beberapa ketika selepas itu, tayar kereta Abang Mat bergolek perlahan meninggalkan kampung halaman ku.
Aku hanya bersandar dan membiarkan Abang Mat memulas stereng keretanya.Serabut dan kacau masih bejat dalam pemikiranku.
Pergi sahaja dahulu dan tunjuk surat itu pada ketua yang baru, lepas itu fikirlah semula apa yang patut dan akan berlaku.
Itu kata hati aku sambil menyedapkan perasaan. Hebat rupanya kuasa sekeping surat ini, hingga aku jadi berangkat ke tempat yang diarahkan itu.
Rasa hati sedikit kendur pada pagi ini, bila diulit antisipasi di sepanjang perjalanan laluan timur barat. Laluan unik yang selitarnya berbungkus alam semula jadi yang sangat mengagumkan.
Bukannya selalu aku dapat melalui jalan ini. Hijau selaut dan selangit mata memandang. Laluan yang penuh dengan sejarah pembikinannya yang tercatat dengan fakta.
Bila sampai sahaja di satu hentian, Abang Mat tergopoh gapah turun sehingga tidak sempat mematikan injin keretanya.
“Abang Mat rasa hendak kencing sangatlah ni”. Tak boleh tahan.Tolong matikan lah injin tu. Kita jumpa di kedai lepas ini,” pesan Abang Mat sambil berlari separuh marathon ke arah tandas di hentian itu.
Mata ku mengintai dan memilih mana satu kedai yang hendak disinggahi untuk makan tengah hari ini.
Terung bakar,petai celur, ikan panggang dan beberapa spesies daun kayu, masuk ke mulut Abang Mat bertalu talu. Berselera benar nampaknya dia. Aku jadi kurang berselera pula tengah hari ini. Perasaan bertambah campah dan kosong.
Aku hanya melihat Abang Mat berkubang dengan budu dan tempoyaknya. Biarkan dia hendak telan sebanyak mana.
“Jangan ikut perasaan sangat kita ini.” Abang Mat berfalsafah sambil menepuk nepuk perut nya yang separuh boroi itu. Aku senyum padanya dengan potongan lima peratus. Aku buat buat faham apa yang dia maksudkan.
Dalam hati aku, lain pula. Sedap sangatlah dia memesan itu dan ini pada aku. Dia tidak merasa apa yang aku rasa sejak kedatangan surat itu. Biarkanlah dia dengan falsafahnya.
Kebetulan tidak jauh dari meja aku, beberapa anak dara sedang makan sambil berborak kecil.
Abang Mat berbisik pada aku, katanya semua budak ini macam donat baru lepas goreng. Aku hanya senyum sekadar mengambil hatinya.
Semua mereka memakai baju yang seragam warna dan coraknya. Aku pikir mereka ini baru balik dari majlis agaknya.
Semua mereka ini hadir mungkin kerana arahan dari sekeping surat. Mereka nampak gembira dan ceria sahaja, hanya aku sahaja sedang sengsara.
Hari sudah nampak semakin tua dan semakin gelap. Matahari akan melingsirkan tubuhnya tidak berapa lama lagi. Mengikut peta, tidak lama lagi aku akan sampai ke daerah baru yang dituju.
Hampir masuk waktu Maghrib, tayar kereta Abag Mat menindih simen berwarna hijau di ruang garaj rumah tamu itu.Terasa asing dan sunyi sekali.
Suasana sekitar sudah mulai gelap dan diserkup cahaya yang samar. Seharian tadi, aku dikapit dan diuli kerungsingan dan resah gelisah.
Setelah bersiap diri, dan berborak ringkas dengan Abang Mat,aku mulai rasa lali dan mamai. Letih mental dan fizikal. Pagi esok satu urusan penting yang perlu diselesaikan dengan ketua jabatan yang baru.
Sebelum terlelap, aku terdengar sayup dan syahdu suara Abang Mat membaca surah Yasin.Sungguh damainya perasaan dan menyejukkan hati .Aku terlelap dan mati sekejap, sementara menunggu subuh di esok pagi.
Di awal pagi, aku sempat mengintai pandangan di luar pintu rumah tamu. Suasana samar dan berkabus. Sejuk, sunyi dan dingin. Bunyi burung galak berkicau di kebun getah belakang rumah ini.
Sangat mengasyikkan dan melankolik sekali. Molek sangatlah bagi mereka yang suka bangun lewat datang bermastautin di sini. Boleh berselimut telanjang sampai tengah hari. Namun, sejuk di sini masih belum mampu lagi memanas dan mencairkan perasaan ku yang masih membeku ini.
Jam lapan pagi itu, aku tercegat di pintu masuk pejabat baru ku, sambil memegang kemas sekeping sampul besar yang di dalamnya ada sampul kecil surat urusan Seri Paduka Baginda.
Pintu bilik kuketuk perlahan, mengatur langkah masuk separuh lesu. Berdepan dan bertemu mata dengan ketua yang baharu buat kesekian kalinya.
Wajahnya berjambang seiras pelakon Kabir Bedi dan dia lebih muda daripada aku. Sambil berjabat tangan bertanya khabar dan bertukar senyuman dalam sejuk suhu biliknya.
Surat ku hulurkan padanya dan disambut dengan perkenalan yang sangat profesional. Meruntun semula rasa hatiku,bila melihat semula sampul surat Seri Paduka Baginda itu. –UTUSAN










