WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) bakal mengurangkan kehadiran tentera di Syria secara berperingkat dalam tempoh beberapa minggu akan datang, dengan jumlah pengunduran dijangka mencecah separuh daripada keseluruhan pasukan yang kini berada di negara tersebut.
Jurucakap Pentagon, Sean Parnell berkata, proses penyusunan semula dilakukan secara terancang dan berdasarkan penilaian semasa, sejajar dengan arahan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth untuk menumpukan kehadiran tentera di lokasi terpilih.
“Kehadiran tentera AS di Syria akan dikurangkan kepada kurang daripada 1,000 anggota dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Ketika ini, kira-kira 2,000 anggota tentera AS ditempatkan di beberapa pangkalan di Syria, kebanyakannya di kawasan timur laut.
Mereka beroperasi bersama pasukan tempatan bagi mengekang kebangkitan semula kumpulan militan Daesh (ISIS), yang pernah menguasai wilayah luas di Iraq dan Syria pada 2014 sebelum berjaya ditewaskan.
Menurut Parnell, Komando Pusat AS (CENTCOM) akan terus bersiap siaga untuk melancarkan serangan terhadap baki ancaman militan di Syria dan bekerjasama dengan sekutu dalam memerangi keganasan serta menangani ancaman keselamatan lain di rantau tersebut.
Kerajaan Syria pimpinan Presiden Ahmad Al-Sharaa selepas penggulingan Bashar al-Assad pada Disember lalu, dilaporkan sedang giat memulihkan hubungan diplomatik dengan negara-negara serantau dan antarabangsa.- AGENSI










