PARIS: Seorang wanita yang dilaporkan cedera semasa sesi krioterapi di sebuah gimnasium di ibu negara Perancis awal minggu ini, kini disahkan mati otak.
Pejabat pendakwa Paris berkata, mangsa yang berusia awal 30-an itu dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal selepas kejadian berlaku pada Isnin lalu, yang turut meragut nyawa seorang pekerja wanita berusia lewat 20-an.
Menurut kenyataan itu, wanita terbabit disahkan mati otak pada Khamis dan hasil bedah siasat terhadap mangsa pertama mendapati punca kematian adalah akibat sesak nafas disebabkan kekurangan oksigen, sekali gus menguatkan teori kemungkinan berlaku kebocoran gas nitrogen dalam ruang krioterapi.
Krioterapi adalah rawatan yang menggunakan wap nitrogen cecair atau nitrous oksida untuk menurunkan suhu permukaan kulit kepada bawah paras negatif 100 darjah Celsius, bagi tempoh tidak melebihi tiga minit.
Nitrogen adalah gas tidak berwarna dan tidak berbau, yang membentuk kira-kira 80 peratus daripada kandungan udara dihirup, manakala oksigen merangkumi selebihnya.
Namun, kebocoran nitrogen di ruang tertutup boleh menyebabkan penurunan kadar oksigen, sekali gus mengundang risiko maut.
Rawatan krioterapi secara keseluruhan badan sering dipromosikan sebagai mampu mengurangkan sakit otot, tekanan, reumatik dan masalah kulit tertentu sama seperti terapi rendaman ais.
Bagaimanapun, pakar kesihatan memberi amaran keberkesanan rawatan itu belum terbukti secara saintifik, dan menggesa kajian lanjut bagi menilai kesan jangka pendek dan panjang terhadap tubuh manusia.
Insiden membabitkan sesi krioterapi pernah mencetuskan perhatian di Amerika Syarikat pada tahun 2015, apabila seorang wanita ditemui mati beku di sebuah spa di Las Vegas.
Wanita berusia 24 tahun itu dipercayai memasuki ruang krioterapi selepas waktu operasi untuk meredakan kesakitan pada tubuh, sebelum mayatnya ditemukan oleh rakan sekerja keesokan harinya. -AGENSI











