WASHINGTON: Kes campak di Amerika Syarikat (AS) terus melonjak apabila jangkitan mencecah 800 kes setakat Khamis lalu, melibatkan 25 kawasan pentadbiran termasuk Texas dan New Mexico, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Angka itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 712 kes yang direkodkan setakat 10 April lalu.
Menurut CDC, sebanyak 10 wabak campak dilaporkan sepanjang tahun ini dan menjadi punca kepada 94 peratus daripada keseluruhan kes yang disahkan.
Sebagai perbandingan, hanya 64 peratus kes pada tahun 2024 berpunca daripada wabak.
Texas kekal sebagai negeri paling terjejas dengan 597 kes dilaporkan, meningkat sebanyak 36 kes sejak kemas kini terakhir pada 15 April.
Awal bulan ini, pihak berkuasa Texas turut mengesahkan kematian kanak-kanak kedua akibat jangkitan tersebut.
Agensi itu turut memaklumkan hanya 11 peratus daripada jumlah pesakit campak ketika ini dirawat di hospital.
Sebanyak 249 kes melibatkan kanak-kanak bawah lima tahun, dan daripada jumlah itu, 47 dimasukkan ke hospital.
Dalam pada itu, pakar pediatrik dan penyakit berjangkit di AS sebelum ini menyatakan usaha membendung peningkatan kes campak di seluruh negara terjejas akibat kurangnya kempen vaksinasi yang tegas oleh pihak berkuasa kesihatan, selain penyebaran maklumat mengenai rawatan yang tidak terbukti secara saintifik yang mengelirukan ibu bapa.
CDC turut mendedahkan sebanyak 96 peratus daripada kes yang direkodkan tahun ini melibatkan individu yang tidak menerima suntikan vaksin atau tidak mengetahui status vaksinasi mereka.- AGENSI










