KUALA LUMPUR: Jumlah aduan dan bantahan yang diterima Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun ini lebih rendah berbanding tahun lalu.
Tanpa menyebut secara spesifik jumlah aduan yang diterima, Pengerusinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, jumlah itu diambil kira daripada beberapa langkah proaktif yang dibuat bagi mengurangkan permasalahan, sekali gus berharap pemilihan parti pada kali ini dapat berjalan dengan lebih lancar.
“Setiap peringkat dalam proses pemilihan, bermula daripada pencalonan, kempen, sehinggalah pengundian, ada disediakan ruang untuk bantahan, aduan dan rayuan. Langkah proaktif yang diambil oleh JPP telah banyak mengurangkan permasalahan dan akhirnya jumlah aduan yang diterima oleh JPP adalah jauh lebih rendah berbanding pemilihan yang lalu.
“Isu berkaitan pencalonan telah berjaya diselesaikan sebelum tempoh pencalonan dimuktamadkan. Sementara itu, aduan yang berkaitan dengan kempen dan keputusan pemilihan masih dalam penelitian Jawatankuasa Aduan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas beberapa bantahan yang dibuat selepas pemilihan PKR di peringkat cabang berlangsung pada 11 hingga 20 April ini.
Sementara pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan akan dilaksanakan pada 24 Mei depan.
Mengulas lanjut, Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) turut berkata, aduan tersebut akan dipanjangkan kepada jawatankuasa atau biro parti yang berkaitan, termasuk Jawatankuasa Disiplin Parti, Biro Keanggotaan, Pejabat Setiausaha Agung dan sebagainya.
“JPP hanya akan mengambil tindakan terhadap perkara-perkara yang melibatkan proses pemilihan parti sahaja,” ujarnya.
Sebelum ini, Zaliha berkata, sebarang aduan dan salah laku membabitkan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan disiasat termasuk membeli undi atau merasuah pengundi semasa sesi pemilihan parti.
Jelas Zaliha, pihaknya akan meneliti setiap aduan yang diterima secara menyeluruh bagi memastikan proses pemilihan. – UTUSAN










