TOKYO: Seorang pemandu bas yang berkhidmat selama 29 tahun di Jepun, kehilangan pakej persaraannya bernilai AS$84,000 (RM370,215), gara-gara mencuri AS$7 (RM30.85) daripada tambang penumpang.
Kyoto City memecat lelaki itu, yang tidak dinamakan, selepas dia dirakam oleh kamera keselamatan bas mencuri 1,000 yen pada tahun 2022.
Selepas dinafikan wang persaraan lebih 12 juta yen, pemandu itu menyaman bandar tersebut, namun kalah dalam kes berkenaan.
Namun, keputusan tersebut dibatalkan oleh mahkamah yang memutuskan bahawa hukuman tersebut adalah berlebihan.
Bagaimanapun, Mahkamah Agung mengeluarkan keputusan muktamad pada Khamis yang memihak kepada bandar tersebut, mengembalikan hukuman asal.
Mahkamah memutuskan tingkah laku lelaki itu boleh merosakkan kepercayaan orang awam terhadap sistem dan kelancaran operasi perkhidmatan bas.
Dalam kejadian asal, lima penumpang menaiki bas dan membayar sebanyak 1,150 yen, menurut keputusan mahkamah.
Pemandu itu mengarahkan kumpulan tersebut untuk memasukkan 150 yen ke dalam kotak tambang, manakala dia menerima wang kertas 1,000 yen dan tidak melaporkannya dengan betul.
Walaupun dirakam kamera, dia cuba menafikan semasa pertemuan dengan penyelia.
Menurut keputusan mahkamah, pemandu terbabit pernah beberapa kali diberi amaran sepanjang tempoh berkhidmat atas pelbagai insiden.
Ini termasuk tabiatnya yang kerap menghisap rokok elektronik semasa bertugas, walaupun ketika tiada penumpang di dalam bas.– AFP










