PETALING JAYA: Tuntutan insurans kerosakan harta akibat letupan paip gas di Putra Heights hanya boleh dibuat oleh pemilik rumah yang dilindungi di bawah Insurans Pemilik Rumah atau Insurans Isi Rumah, dengan syarat polisi tersebut diambil bersama perlindungan tambahan yang bersesuaian.
Menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), ramai pemilik rumah tidak menyedari bahawa tidak semua polisi insurans secara automatik meliputi kerosakan akibat letupan paip gas domestik.
Katanya, kekeliruan tersebut menyebabkan segelintir pemegang polisi beranggapan mereka dilindungi, sedangkan perlindungan sebenar hanya diberikan bergantung kepada jenis polisi dan tambahan yang dipilih.
“Kebanyakan polisi insurans rumah dan isi rumah standard di Malaysia memberikan perlindungan untuk kerosakan akibat letupan.
“Namun, pelanggan perlu mengesahkan dengan syarikat insurans mereka atau membaca penyataan pendedahan produk untuk memahami dengan lebih jelas apa yang dilindungi. Pampasan pula biasanya berdasarkan kos pembinaan semula,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 2 April lalu, akhbar ini melaporkan, mangsa insiden letupan paip gas di Putra Heights yang mengalami kemusnahan harta benda dan kecederaan berhak menuntut pampasan daripada pihak yang terbukti cuai dalam insiden tersebut.
Pensyarah Undang-undang Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, pemilik harta yang terjejas boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebabkan kerugian.
PIAM menambah, kebanyakan polisi insurans menetapkan tempoh tertentu untuk notifikasi tuntutan antara tujuh hingga 14 hari selepas kejadian berlaku.
Namun, bagi insiden berskala besar seperti letupan paip gas, beberapa syarikat insurans mungkin menawarkan kelonggaran tertakluk kepada terma dan syarat polisi masing-masing.
Menurut PIAM, tuntutan insurans mangsa tragedi telah mula diproses seawal 13 hari selepas kejadian.
“Industri insurans am telah mengambil pendekatan proaktif dalam mempercepatkan proses tuntutan bagi meringankan beban mangsa yang terkesan.
“Antara inisiatif dilaksanakan termasuk menunda kenderaan yang rosak ke bengkel panel terdekat dan menyediakan kenderaan gantian kepada pelanggan yang memiliki perlindungan komprehensif,” katanya.
Selain itu, proses tuntutan dijalankan secara terus di lokasi kejadian, dengan bayaran pendahuluan disalurkan kepada mangsa sementara penilaian penuh kerosakan sedang dilaksanakan oleh pihak penilai.
PIAM berkata, tragedi itu harus menjadi pengajaran kepada masyarakat mengenai pentingnya perlindungan insurans yang mencukupi.
“Insiden di Putra Heights adalah peringatan bahawa bencana boleh berlaku bila-bila masa, dan persediaan awal termasuk memiliki perlindungan insurans mencukupi membantu meminimumkan kesan yang ditanggung oleh mangsa,” katanya. – UTUSAN











