E-sukan di Malaysia: Hobi atau cita-cita?

E-sukan di Malaysia: Hobi atau cita-cita?

ADAKAH e-sukan sekadar hobi sampingan atau boleh menjadi kerjaya alternatif yang menjanjikan pulangan besar di masa depan?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INDUSTRI e-sukan di Malaysia saban hari menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan sehingga menarik perhatian pelbagai pihak bukan sahaja peminat permainan video tetapi juga pihak industri dan kerajaan.

Dengan peningkatan jumlah pemain profesional Malaysia yang berjaya di peringkat antarabangsa, e-sukan kini bukan lagi sekadar hobi mahupun hiburan di waktu santai. Atlet e-sukan tempatan seperti Selangor Red Giants dan Todak MY yang bermain dalam permainan Mobile Legends Bang Bang sehingga ke peringkat dunia telah menunjukkan bahawa kejayaan dalam industri ini mampu menjadi sumber penjanaan wang.

Malah, hadiah wang tunai dalam kejohanan global boleh mencecah jutaan ringgit. Namun, persoalan masih berlegar adalah, adakah e-sukan sekadar hobi sampingan atau boleh menjadi kerjaya alternatif yang menjanjikan pulangan besar di masa depan?

Pada Julai 2024, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menganjurkan Mini EsportsCon di bangunan Parlimen Malaysia, yang menghimpunkan pemegang taruh e-sukan tempatan dan antarabangsa. Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, menyatakan bahawa acara ini menandakan pencapaian penting dalam usaha mengiktiraf potensi e-sukan sebagai industri yang dinamik dan berpengaruh.

Tambahan lagi, pada Ogos 2024, KBS melalui e-sukan bersepadu (ESI) meningkatkan peruntukan dana e-sukan kepada RM1 juta, berbanding RM250,000 sebelumnya. Menurut ESI, peningkatan ini dijangka memberi impak positif kepada industri serta memacu pertumbuhan ekosistem e-sukan negara.

Soloz, seorang personaliti popular e-sukan dan media sosial, telah menjadikan streamer sebagai kerjayanya di mana beliau menekankan bahawa e-sukan boleh menjadi platform besar untuk generasi muda, bukan sahaja dalam menjana pendapatan, tetapi juga untuk menggerakkan ekonomi negara.

Beliau menambah bahawa “jika e-sukan ini digunakan dengan betul, e-sukan boleh membawa banyak manfaat”.

Universiti seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Asia Pacific University (APU) telah menawarkan kursus berkaitan e-sukan seperti Pengurusan E-Sukan, Pembangunan Permainan dan Sains Sukan untuk Atlet E-Sukan. Ini membuktikan bahawa e-sukan telah diterima dalam konteks akademia dan boleh membawa kepada kerjaya profesional yang stabil.

Jika seseorang berminat dalam e-sukan tetapi mahu mempunyai asas akademik yang kukuh, mereka boleh menerokai bidang pengurusan e-sukan, pembangunan permainan, pemasaran digital, dan kejurulatihan untuk membina masa depan dalam industri ini. – UTUSAN

NUR ATHIRAH MD. SALLEH & MAZLAN HANAFI BASHARUDIN
Universiti Sains Malaysia (USM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×