Bakat muda lumba motosikal terjamin bawah teraju MAM

Bakat muda lumba motosikal terjamin bawah teraju MAM

RAZLAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Program pembangunan bakat muda pelumba motosikal negara bakal melalui proses peralihan apabila Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Petronas berhasrat untuk melepaskan kepada pihak yang sewajarnya menggalas tanggungjawab tersebut.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Razlan Razali ketika ditemui, baru-baru ini, tanpa berselindung menyuarakan pandangannya bahawa peranan bagi membangunkan pelumba-pelumba muda negara seharusnya diserahkan kepada Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).

Sebagai badan induk yang bertanggungjawab, MAM perlu bersedia menggalas tugas tersebut dengan disokong oleh ZK Racing yang selama ini bertindak menguruskan program bakat muda di peringkat akar umbi.

ZK Racing yang diterajui bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin bergerak aktif menjayakan program akar umbi seperti Kejuaraan Pocketbike dan Mini GP Malaysia dengan dipantau oleh SIC yang menyalurkan peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Bagaimanapun, apa yang menjadi kebimbangan ialah pelumba RedBull MotoGP Rookies, Hakim Danish Ramli berada di antara proses peralihan itu dan Razlan yang juga Bendahari MAM memberikan jaminannya tentang masa depan anak muda itu sewaktu ditemu bual wartawan Mingguan Malaysia, AIZAWATI AHMAD.   

MINGGUAN: Datuk ada dengar tentang hasrat SIC hendak berundur daripada program pembangunan pelumba negara?

Razlan: Itu yang saya dengar, tetapi masih belum disahkan lagi, sedikit sebanyak ia masuk akal sebab tanggungjawab pembangunan sepatutnya bukan terletak kepada litar.

Kalau hendak bandingkan dulu semasa saya sebagai CEO, kita tak ada persatuan seperti MAM yang giat hendak buat program pembangunan, jadi, sekarang dengan MAM kita lebih aktif, lebih tersusun.

Jadi, sepatutnya tanggungjawab (sukan bermotor) dua roda dan empat roda dipikul oleh MAM, ia masuk akal, tetapi bila ia akan berlaku kita tak tahu lagi.

Datuk berasakan bila agaknya akan menjadi kenyataan, saya difahamkan 2025 mungkin jadi tahun terakhir SIC galas tugas jaga program pembangunan pelumba, 2026 mungkin bermula era baru?

Razlan: Itu yang saya dengar, MAM sahaja yang boleh ambil alih, itu sahaja tanggungjawab MAM sebenarnya untuk buat program pembangunan dan kalau boleh kita hendak letak bakat kita di pentas dunia, itu perancangannya.

Datuk melihat bagaimana pula masa depan ZK Racing, sebab dia orang yang terlibat secara penuh untuk membangunkan pelumba-pelumba muda negara?

Razlan: SIC ke atau MAM, ini satu program kita kena teruskan. ZK Racing dapat sokongan daripada KBS dan sudah tentu juga daripada MAM, untuk orang lain buat benda ini susah sebab ada syarat yang diletakkan oleh pihak Dorna dan FIM.

ZK Racing juga ada hubungan yang dekat dangan Ohvale, Dorna serta FIM dan selagi dia buat tugas dengan baik, saya percaya program ini akan berterusan, walaupun dengan MAM kita dapat sokongan daripada KBS untuk teruskan program ini.

Datuk berpendapat ZK Racing ada masa depan cerah untuk terus teraju program pembangunan di masa akan datang?

Razlan: Bagi saya untuk ke pentas dunia daripada budak umur 9 hingga 12 tahun, ZK Racing adalah pihak terbaik yang layak untuk menggalas tanggungjawab itu.

Sebab dia telah melalui semuanya dan ZK Racing sudah tunjuk keputusan, sudah tentu belum sampai ke tahap Moto3, tetapi dalam kejuaraan yang lebih rendah kita boleh lihat mereka berjaya melahirkan bakat muda. Jadi, kita tengoklah dengan Hakim Danish nanti, saya percaya dan yakin ZK Racing akan buat yang terbaik.

Datuk, Hakim Danish akan berada di dalam proses peralihan itu nanti. Pada waktu tersebut Hakim Danish sepatutnya sudah bersedia untuk dinaikkan ke Moto3, bimbang dia menjadi mangsa apabila peralihan itu berlaku?

Razlan: Tidak, tidak, saya rasa jika Exco yang ada (pada ketika ini), kalau kita sempat untuk ketengahkan Hakim Danish ke Moto3, kita akan laksanakan, sebab secara peribadi saya sudah lihat Hakim Danish punya karier sejak dia berusia 11, 12 tahun lagi.

Jadi, ini sesuatu yang saya takkan biarkan karier dia tergantung tak ke mana, saya akan pastikan dia dapat teruskan karier dalam Moto3.

Itu jaminan saya sebab selepas Hakim Danish, kita ada Qabil Irfan, dua budak ini kita nampak ada potensi bersama-sama dengan ZK Racing dan saya secara peribadi, ambil berat dengan mereka berdua supaya mereka dijaga dengan baik dan terus ikut langkah demi langkah pergi ke kejuaraan dunia, itu jaminan saya, insya-Allah.

Mengenai program pembangunan, Zulfahmi pernah menyatakan dia berdepan masalah mencari bakat baharu yang semakin berkurang, apa program yang boleh kita lakukan lagi untuk lahirkan bakat-bakat ini?

Razlan: Kita galakkan Zufahmi untuk buat MiniGP, kita fikir itu langkah yang sudah cukup, tetapi macam dia cakap tiap-tiap tahun bakat yang datang untuk buat ujian makin berkurangan, sebab itu, dia buat keputusan turun lagi ke bawah, buat program pocketbike, jadi, ini usaha yang dibuat oleh ZK Racing dan saya sokong usaha itu.

Sedikit sebanyak kalau kita boleh tolong, kita akan tolong supaya kita dapat melahirkan lagi bakat selepas Qabil Ifran, kita kena ada pelapis.

Dari situ kita cuba cari bakat untuk pergi ke peringkat seterusnya kerana program pembangunan bakat ini bukan makan masa setahun, dua tahun, ia sekurang-kurangnya minimum 10 tahun, kita kena ada kumpulan bakat yang besar bermula daripada umur 7 hingga 9 tahun dan 10 hingga 12 tahun.

 Soal hendak pergi ke Moto3, kita kena tengok prestasi, macam Hakim Danish dan Qabil Irfan, kita tak nak membazir duit dengan sekadar letak pelumba.

Datuk sendiri tidak rindu MotoGP?

Razlan: Rindu, tetap rindu, sebab itu saya baru lancar satu podcast bercakap pasal MotoGP dan saya pun sedikit sebanyak bekerjasama dengan pihak Dorna juga, tetapi, dalam medialah untuk mendapatkan saya punya pandangan dan pengalaman pasal musim akan datang.

Datuk ada terima tawaran daripada pasukan MotoGP?

Razlan: Memang ada tawaran tetapi pasukan Moto2, tawaran itu dibuat terlalu singkat, pasukan itu ada masalah dengan pelabur, apa yang dia buat melanggar peraturan yang ditetapkan Dorna, jadi, atas faktor-faktor tersebut saya tolak.

Saya hanya akan pergi ke Moto2 atau Moto3, jika ada pelumba Malaysia, kalau tiada elok kita rehat dulu.

Kalau ada tawaran lagi akan datang, Datuk terima?

Razlan: Saya masih ada hubungan dengan Carmelo (Ezpeleta) dan Carlos (Ezpeleta), kita masih ada sesuatu tengah buat, tetapi, buat masa ini, kita perlu tunggu peralihan antara Liberty Media dengan Dorna, selagi belum selesai, susah kita hendak mengorak langkah ke depan.

Jadi, Datuk akan kembali kalau ada pelumba Malaysia?

Kalau ada pelumba Malaysia, insya-Allah itu yang saya hendak buat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×