Evian si kucing pempengaruh

Evian si kucing pempengaruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Evian, kucing jantan baka ragdoll berusia lima tahun ini sangat mementingkan kebersihan.

Kerana itu, ia gemar dibawa ke salon untuk didandan dan dirapikan bulu-bulu.

Apabila di salon, karakternya cukup manja dan langsung tidak merengek atau mengamuk apabila disentuh serta dibelai.

Demikian perkongsian pemiliknya, Nor Anis Halyatie Halim ketika ditanya mengenai si manjanya yang dipelihara sejak dua tahun lalu.

Katanya, paras rupa menawan dan bulu lembut bak baldu yang dimiliki Evian turut membolehkan haiwan itu dipilih sebagai kucing pempengaruh.

Ia bernaung di bawah platform kumpulan pempengaruh kucing popular Malaysia, Pawsquad.

Mengulas lanjut tentang sikap kucingnya, katanya, Evian tidak suka diletakkan mahupun bermain di dalam kotak.

Hal itu kerana, kotak dianggap sebagai tempat membuang najis.

“Setiap kali nampak kotak, Evian akan membuang najisnya di situ,” katanya baru-baru ini.

PUTERA LILIN
Selain itu, haiwan comel ini ibarat putera lilin dan tidak suka berada di kawasan panas.

Ia lebih gemar duduk di dalam rumah kerana dapat menikmati hawa sejuk daripada kipas dan penyaman udara.

Kata Nor Anis Halyatie, alatan itu sentiasa dipasang setiap hari untuk keselesaan si manjanya.

“Disebabkan tidak tahan panas, Evian tidak berapa suka membuat aktiviti di luar rumah.

“Tambahan pula, ia tidak suka membiarkan bulu dikotori tanah dan pasir,” katanya.

Terdahulu, video dimuat naik wanita ini tular di laman TikTok yang memaparkan aksi mencuit hati Evian yang seronok apabila dihalakan penyaman udara ketika di dalam kereta.

Video itu dirakamkannya ketika pulang beraya ke kampung baru-baru ini.

Walaupun tempoh perjalanan balik ke kampung mengambil masa lama, tetapi dia bersyukur kerana Evian tidak banyak meragam.

Jika kucing itu mahu membuang najis, ia akan memberi isyarat dengan mencakar karpet kereta dan mengaum berkali-kali.

 

TIDAK SUKA IKAN

Kebanyakan kucing tentunya menggemari ikan yang merupakan menu ruji haiwan itu.

Tetapi berbeza dengan Evian yang menolak untuk makan ikan.

Ia lebih berminat menikmati menu ayam rebus bersama campuran makanan kering.

“Saya memang kawal pemakanannya dan memberi makan sebanyak dua kali sehari.

“Ini penting bagi memastikan kesihatannya terjaga lebih-lebih lagi kerana ia tergolong dalam baka kucing bersaiz besar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×