Minat pada barangan antik mendorong pasangan suami isteri dari Felda Melati, Jengka 11 di sini mengumpul lebih 2,000 item tersebut sejak lima tahun lalu.
Kesemua koleksi itu ditempatkan di Galeri Azieda Talam Kopi.
Azizan Che Me,48, berkata, kebanyakan barangan itu merupakan koleksi peribadi yang dibeli daripada komuniti pengumpul.
Antaranya ialah buku-buku, majalah, kaset, katrij, radio, mesin taip, pemain piring hitam, alat muzik tradisional, telefon dan basikal.
Dia turut bersyukur kerana isteri, Noreda Khairi, 47, menyokong hobi luar biasanya itu.
Matlamatnya adalah untuk menjaga dan memulihara sebanyak mungkin barangan tersebut untuk tatapan generasi akan datang.
“Minat mengumpul barang lama ini timbul secara tiba-tiba lebih lima tahun lepas.
“Ia bermula selepas saya menyimpan dua pemain piring hitam keluaran 1940-an peninggalan keluarga yang masih berfungsi .
“Uniknya, kerana ia menggunakan piring hitam batu yang lebih tebal daripada piring hitam biasa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Selain itu, Azizan turut mewarisi dua mesin taip keluaran 1980-an, kepunyaan bapanya.
Katanya, alat itu merupakan sahabat akrab bapanya yang bertugas mengambil upah menaip surat orang ramai.
Dalam perkembangsan sama, Azizan mengakui tidak kisah berbelanja besar demi mendapatkan setiap barangan antik itu.
Baginya, item tersebut bukan sekadar bernilai tinggi, bahkan turut menyimpan kisah-kisah sejarah keluarga pemilik asal.
“Televisyen hitam putih dari era 1970-an ini sinonim digunakan ketika aktiviti tayangan filem Melayu yang penonton perlu membayar caj sebanyak 10 sen.
“Barangan lain yang menjadi tumpuan ialah dua buah pemain piring hitam keluaran The Gramophone Company Ltd. pada tahun 1930-an yang masih berfungsi dengan baik,” katanya.
Selain membeli, ada juga beberapa item yang diperolehi secara percuma hasil hadiah daripada rakan-rakan.
Dengan koleksinya yang banyak, Azizan merancang membuka restoran di galeri itu dalam masa terdekat.
Ia bagi memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat untuk melihat secara dekat setiap koleksi barangan antik miliknya.











