KOTA BHARU: Wanita Kelantan atau Mek Kelate’ tetap ligat membeli emas walaupun harga perhiasan itu mencecah RM444 satu gram ketika ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, hampir kesemua premis menjual emas dipenuhi wanita Kelantan untuk membeli perhiasan tersebut.
Pegawai Sumber Manusia MZ Gold Sdn. Bhd., Nur Akmal Ahmad Tajuddin berkata, trend pembelian sebelum dan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tetap rancak berlangsung meskipun harga emas sedang naik ketika ini.
“Harga emas mula mengalami kenaikan pada 26 Mac lalu dan trend itu berterusan sehingga hari ini. Sepanjang kenaikan itu, kami sudah menjual lebih 3.7 kilogram emas. Selain barang kemas, ada pelanggan yang mengambil kesempatan menukar duit raya anak dengan kepingan emas seberat satu gram sebagai simpanan jangka panjang,” katanya.
Seorang lagi peniaga emas, Zita Zulkifli, 24, berkata, rantai tangan jenis kendi dubai, lipan dan jalin menjadi pilihan wanita Kelantan untuk membeli perhiasan itu.
“Walaupun harga emas naik, pelanggan tetap datang membeli dan ada mengambil kesempatan untuk menukar barang kemas mereka dengan reka bentuk terbaharu. Kebanyakan yang datang adalah pelanggan tetap,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pembeli, Fatimah Yaakob, 50, berkata, kenaikan harga emas ketika ini membolehkannya menukar rantai tangan lama kepada yang baharu.
Katanya, walaupun terpaksa menambah sekitar RM1,000 namun dia bersyukur dapat memiliki rantai tangan dengan reka bentuk terbaharu.
“Simpan emas ini tidak rugi kerana harganya bukan sahaja stabil malah akan mengalami kenaikan yang tidak dijangka. Bagi saya, emas adalah pelaburan terbaik,” ujarnya. – UTUSAN











